KUALA LUMPUR, 9 Sept – Rusia mahu mempertingkatkan kerjasama ekonomi dan perniagaan dengan negara ASEAN dalam usaha memperkukuhkan hubungan dua halanya di rantau ini.

Pengerusi sesi dialog bersama Rusia sebagai negara pemerhati pada Perhimpunan Agung ke-36 bagi Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Hasbi Habibollah, berkata negara Eropah itu menyatakan kesediaan mereka membuka pintu kepada negara ASEAN bagi merancakkan aktiviti perniagaan dua hala.

Hasbi yang juga anggota Parlimen Limbang berkata demikian kepada Bernama selepas mempengerusikan dialog itu di sini, hari ini.

Delegasi empat anggota dari Rusia itu diketuai Andrey Klimov.

Sementara itu, kerajaan Timor Leste yang juga negara pemerhati AIPA berharap penglibatan negara ASEAN khususnya Malaysia dapat membantunya meneroka peluang industri di negara itu bagi mencapai pembangunan ekonomi yang mampan.

Pengerusi sesi dialog bersama Timor Leste sebagai pemerhati sempena Perhimpunan Agung Ke-36 AIPA, Datuk Rozman Isli, berkata Timor Leste telah menyatakan kesediaan mereka bekerjasama lebih erat bersama-sama negara ASEAN khususnya Malaysia.

“Perkembangan paling ketara di Timor Leste adalah dari sudut ekonomi, dan mereka percaya masih banyak industri yang boleh diteroka di negara itu.

“Oleh itu, Timor Leste mengharapkan penglibatan Malaysia khususnya ASEAN untuk bersama-sama membantu negaranya untuk meneroka industri yang boleh memperkukuhkan pembangunan negara itu,” katanya.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here