INDUSTRI halal Malaysia menjangkakan 5.8 peratus sumbangan dalam pertumbuhan ekonomi negara selaras dengan kedudukan sebagai Hab Halal Global. Hal ini disokong oleh Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada sidang media di MATRADE semalam.

Ketua Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, permintaan tinggi terhadap perkhidmatan dan produk halal terutamanya negara bukan Islam seperti Rusia, Brazil, India, China, Perancis dan Netherlands.

Seiring dengan itu, Matrade membuka peluang perniagaan kepada syarikat tempatan meluaskan pasaran ke Rusia.

“Bahkan negara ini mencatatkan aktiviti import paling pantas berkembang bagi industri halal dan berada di kedudukan 18 pengimport di Malaysia,” katanya ketika taklimat dengan Persekutuan Rusia dalam Malaysia Halal Fast-Moving Consumer Goods (FMCG).

Beliau berkata pada 2014 hubungan perdagangan dua hala mencatatkan kenaikan sebanyak 55.2 peratus iaitu AS$2.8 bilion (RM11.80 bilion) daripada AS$1.81 bilion (RM7.63 bilion) pada 2013.

Katanya, Malaysia mengimport AS$2.07 bilion (RM 8.72 bilion) barangan dari Rusia dengan kenaikan sehingga 77 peratus dalam produk petroleum, kimia dan besi.

“Selain peningkatan dalam dagangan dua hala, Rusia turut mengiktiraf logo halal Malaysia.

“Pihak Rusia juga membuka banyak peluang perniagaan dalam pelbagai sektor seperti bioteknologi, telekomunikasi, pembuatan dan logistik,” katanya.

Dzukifli berkata, permintaan produk bergantung kepada penggunaan pengguna dan trend alternatif kini bertumpu kepada makanan laut dan perabot.

Sementara itu, Presiden Perniagaan dan Kewangan Islamik Rusia, Linar Yakupov berkata perkembangan halal di negara itu mencapai pertumbuhan 100 peratus.

“Jumlah penduduk Rusia adalah 145 juta dan 25 juta Muslim namun produk halal sangat dialu-alukan.

“Saya menyeru syarikat Malaysia lebih agresif menerokai pasaran Rusia dan kami sediakan pelbagai kemudahan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here