Harga rumah di Pulau Pinang terlalu tinggi dan di luar kemampuan majoriti rakyat Pulau Pinang. Harga rumah di Pulau Pinang hampir sama dengan harga rumah di Lembah Klang, walaupun purata pendapatan isi rumah Pulau Pinang separuh daripada purata pendapatan isi rumah di Lembah Klang.

Malahan, harga rumah mampu milik yang diperkenalkan kerajaan Pulau Pinang masih terlalu tinggi untuk majoriti rakyat Pulau Pinang. Ada yang mengatakan rumah mampu milik di Pulau Pinang bukan rumah mampu dimiliki, tetapi cuma mampu tengok atau sampai mati pun tak boleh dimiliki.

Hanya kerajaan Pulau Pinang yang mengatakan harga rumah mampu milik di Pulau Pinang bertepatan dan mampu dimiliki rakyat Pulau Pinang.

Kenapa rumah di Pulau Pinang sangat mahal?

Selain spekulasi harga tanah yang menjadikan harga tanah di Pulau Pinang meningkat dan kenaikan harga bahan binaan di pasaran, kerajaan DAP negeri sejak 2009 menaikkan kadar sumbangan wajib dan caj pembangunan baru ke atas pemaju perumahan di Pulau Pinang.

Malah, kerajaan negeri menaikkan kadar caj tersebut berlipat ganda berbanding kadar semasa Pulau Pinang di bawah BN dahulu. Ini semua menyumbang kepada kenaikan harga jualan rumah di Pulau Pinang sejak DAP menjadi kerajaan Pulau Pinang.

Pada November 2015, Rehda Pulau Pinang berkata, pemaju perumahan di Pulau Pinang terpaksa menanggung kenaikan caj pembangunan 3 kali ganda sejak 2010. Mereka juga terpaksa menghadapi peningkatan dalam sumbangan “pampasan” kepada rumah kos rendah dan untuk kos sederhana rendah yang pemaju tidak mampu bina, “ganti rugi” untuk kemudahan awam.

Menurut Rehda Pulau Pinang lagi, pemaju perumahan di Pulau Pinang bukan sahaja perlu menghadapi peningkatan berlipat ganda caj sedia ada, malah mereka juga perlu menghadapi caj baru yang diperkenalkan kerajaan negeri dan kadar caj ini sentiasa meningkat.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada November lalu, Datuk Dr Muhammad Farid Saad, adun BN-Pulau Betong dalam perbahasannya menyenaraikan caj pembangunan yang dikenakan pihak berkuasa tempatan kepada pemaju perumahan di Pulau Pinang.

Angka bagi caj pembangunan perumahan yang didedahkan Farid tidak disangkal atau dinafikan exco perumahan dan exco kerajaan tempatan. Mereka seperti mengakui pendedahan Farid.

Caj pembangunan yang dahulunya hanya RM5 satu kaki persegi untuk pembangunan rumah kediaman dinaikkan kepada RM15 satu kaki persegi, manakala sumbangan perparitan, parkir, kemudahan komuniti dan prasarana lain dinaikkan sekali ganda dengan ada yang mencecah 2 kali ganda.

Sumbangan perparitan dinaikkan daripada RM10,000 setiap ekar kepada RM50,000 setiap ekar. Sumbangan parkir kereta dinaikan daripada RM15,000 satu petak kepada RM25,000 satu petak. Sumbangan kemudahan komuniti dinaikkan daripada RM25 kepada RM500 satu kaki persegi.

Bayaran “ganti rugi” tidak membina rumah kos rendah dinaikkan daripada RM42,000 seunit kepada RM120,000 seunit oleh kerajaan Pulau Pinang selepas 2009.

Peningkatan caj pembangunan dan sumbangan yang dikenakan pihak berkuasa negeri menyebabkan peningkatan kos pembinaan rumah minimum sebanyak RM120 setiap kaki persegi di Pulau Pinang.

Ini adalah punca sebenar peningkatan harga rumah di Pulau Pinang yang terus dinafikan kerajaan DAP Pulau Pinang. Ini juga adalah cukai tersembunyi yang dikenakan kerajaan negeri ke atas pembeli rumah di Pulau Pinang.

Tiada orang berniaga untuk rugi. Begitu juga pemaju perumahan. Mereka akan memindahkan beban itu kepada pembeli rumah, maka berlakulah kenaikan harga rumah.

Kenaikan harga rumah akan menyebabkan kadar sewa rumah meningkat dan menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat Pulau Pinang.

Pihak yang untung daripada semua peningkatan ini adalah kerajaan Pulau Pinang yang mengutip cukai tersembunyi di sebalik kenaikan caj pembangunan, juga peningkatan hasil kepada PBT melalui cukai taksiran.

Difahamkan, caj atau bayaran “ganti rugi” kerana tidak membina rumah kos rendah akan dinaikkan lagi pada 1 Januari 2018 sehingga RM300,000 seunit.

Akibatnya, rakyat yang membeli unit kediaman seluas 1,000 kaki persegi terpaksa membayar kos tambahan sekurang-kurangnya RM120,000 seunit.

Jika kenaikan kos RM120,000 ini ditambah kepada pinjaman perumahan untuk tempoh 30 tahun dengan kadar faedah 5% setahun, ini akan menyebabkan peningkatan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM671.03 setiap bulan kepada pembeli rumah.

Ini sudah pasti menambahkan beban pembeli rumah setiap bulan. Jumlah kos faedah 5% ke atas RM120,000 selama 30 tahun adalah RM116,569.73.

Bila harga rumah mahal, rakyat Pulau Pinang rugi, tetapi kerajaan DAP Pulau Pinang tetap mendapat keuntungan.

-Azizi Safar 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here