Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pembinaan sebanyak 2,010 unit Perumahan Transit Belia di sekitar ibu negara yang dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

Perdana Menteri berkata, projek itu untuk membantu golongan muda M40 (isi rumah berpendapatan sederhana antara RM3,860 hingga RM8,319) sebagai perumahan transit sehingga mereka mampu membeli rumah sendiri yang lebih baik dan selesa.

Katanya, perumahan dibina di Mukim Batu dan Kepong itu adalah untuk membantu kumpulan sasar menyewa rumah dan pada masa sama menabung untuk membeli rumah impian pada masa depan.

Beliau berkata, penyewa terbabit akan membayar RM400 untuk rumah studio satu bilik seluas 400 kaki persegi dan RM550 rumah studio dua bilik berkeluasan 550 kaki persegi.

“Penyewa terbabit akan membayar sewa bulanan dan tabungan RM250 sebulan dalam tempoh maksimum lima tahun.

“Ini bermakna apabila mereka keluar sudah ada tabungan RM15,000 sebagai deposit membeli rumah,” katanya berucap majlis penyerahan kunci rumah ‘Rent-To-Own’ Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman dan melancarkan perumahan transit belia Kuala Lumpur di PPR Sri Aman, Jinjang, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; dan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Pendekatan Perumahan Transit Belia membabitkan perniagaan model baru iaitu kerjasama pihak kerajaan dan swasta.

Dalam pada itu, Najib berkata, sebanyak 400 unit Perumahan Transit Belia di tapak PPR Sri Aman Jinjang, Kepong, kini ditawarkan kepada golongan muda berkelayakan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, setakat ini Kerajaan Persekutuan sudah memperuntukkan sebanyak RM6 bilion untuk pembinaan PPR meliputi 83,759 unit sudah disiapkan, manakala 25,000 lagi dalam peringkat pelaksanaan.

Katanya, program PPR adalah inisiatif kerajaan yang menawarkan bilangan subsidi terbesar kepada rakyat dengan kos harga seunit dijual hanya RM35,000 saja berbanding nilai rumah RM200,000 mengikut harga pasaran.

“Program perumahan memanglah terletak di atas tangga keutamaan yang tertinggi bagi kerajaan kerana impian untuk memiliki atau mendiami sebuah rumah yang selesa lagi sempurna adalah idaman setiap rakyat,” katanya.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here