Thursday, August 17, 2017
Home News Entertainment Ruhainies, Azrel Ismail Masih ‘Zon Berkawan’

Ruhainies, Azrel Ismail Masih ‘Zon Berkawan’

157
0
ruhainies

HUBUNGAN antara dua pelakon muda, Ruhainies dan Azrel Ismail tidak akan habis dibicarakan. Selagi masing-masing cuba bermain kata dengan pihak media, selagi itulah soalan tentang sejauh mana kasih bertaut antara mereka akan tetap dipersoal.

Pernah tidak lama dahulu, Azrel meluahkan rasa sayangnya kepada Ruhainies menerusi media tapi perasaan tersebut ditakrifkan sebagai kasih kepada seorang sahabat.

Namun dalam masa yang sama, Azrel tidak menolak yang pelakon cantik itu mempunyai segala ciri yang diimpikan sebagai suri di hatinya yang sehingga kini masih belum terisi.

Bertemu dengan Ruhainies baru-baru ini, dalam ketawa manjanya, pelakon berusia 25 tahun ini mengakui, dia menyenangi Azrel, 31, kerana lelaki itu disifatkan cukup baik sebagai seorang calon suami.

Apa pun, perasaan cinta tidak pernah wujud antara mereka. Menyenangi tidak bermaksud berkasih, cukup saling menyayangi sebagai seorang sahabat baik, sementelah mereka sudah kenal hampir dua tahun lamanya.

“Saya dan dia memang tidak ada apa-apa hubungan yang lebih daripada seorang sahabat. Kami boleh diumpamakan berada dalam ‘zon berkawan’ .

“Kalau betullah saya ini bercinta dengan Azrel, pasti saya tidak akan menafikan tapi memang sebetulnya tidak ada apa antara kami berdua, sekadar dua kawan baik yang sama-sama terlibat dalam bidang seni.

“Saya juga ada ramai lagi rakan baik lelaki yang lain, bukan Azrel sahaja yang berkawan rapat dengan saya. Tapi kesemuanya juga dalam kategori ‘zon kawan’,” kata Ruhainies.

Pemilik nama sebenar Ruhainies Farehah Zainul Ilyas ini bahkan tidak pernah membayangkan akan bercinta atau berkahwin dalam waktu terdekat lantaran jadual kerjanya cukup padat.

Jadi duta produk lebih untung

Tidak hanya mahu bergantung kepada bidang lakonan, Ruhainies juga bakal tampil sebagai duta kepada sebuah produk kecantikan keluaran syarikat tempatan untuk tempoh setahun.

Memilih untuk mencuba dahulu setiap apa yang ditawarkan, apabila serasi dan berkesan baharulah Ruhainies akan bersetuju.

“Pernah saya menolak untuk menjadi duta kepada produk lain kerana tidak ada kesan apabila digunakan dalam tempoh tertentu.

“Cara saya ialah mencuba dahulu setiap produk yang ditawarkan kerana saya tidak mahu terlibat menipu pengguna.

“Biasanya pemilik produk akan meminta saya menggunakannya dalam tempoh sebulan. Tempoh tersebut sudah boleh dilihat sama ada ia berkesan atau sebaliknya. Kalau ada kesan dan efisien, barulah saya akan bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka,” kata Ruhainies lagi.

Namun tidak seperti kariernya yang meningkat naik, perniagaan produk kolagen miliknya iaitu Rosy Secret kurang memberangsangkan.

“Saya terpaksa memperlahan penjualan produk sendiri dua bulan lalu kerana tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya. Saya akan kembali aktif dengan bisnes tersebut apabila tiba masanya.

“Lagipun pendapatan menjadi duta lebih banyak daripada berniaga sendiri.

“Jadi, buat masa ini saya pilih menjadi duta dahulu dan mencari pengalaman baru untuk memantapkan bisnes saya sendiri kelak,” kata Ruhainies mengakhiri perbualan.

Karier semakin menyerlah

Semenjak dari awal tahun lagi, dia menerima pelbagai tawaran berlakon yang turut menuntutnya terbang ke luar negara semata-mata untuk menjalani penggambaran. Justeru, komitmen untuk sebuah ikatan yang halal sukar dilaksanakan dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, dek kerana rupa parasnya yang cantik, Ruhainies kerap dilamar untuk menjadi duta, jurucakap atau sekadar hadir untuk penampilan khas bagi satu-satu produk.

“Alhamdulillah atas semua rezeki yang diterima. Saya pun masih terlalu baharu dalam bidang ini. Dua tahun bergiat bagaikan setahun jagung sahaja berbanding orang lain.

“ Jadi, apabila mendapat kepercayaan daripada produser untuk mengambil saya berlakon dalam drama mereka, saya tidak lepaskan peluang.

“Bagaimanapun, oleh kerana kerap membawakan watak-watak komedi, saya kini beralih untuk mencuba watak yang lebih berat yang memerlukan permainan emosi dalaman. Itu yang saya dambakan buat masa ini.

“Saya gemar dengan watak yang lebih mencabar kerana ia lebih susah dan kepuasan untuk beraksi di hadapan kamera lebih dirasai.

“Mujur kebanyakan drama dan telefilem yang ditawarkan kepada saya sekarang kebanyakannya watak berat yang memerlukan saya bermain dengan emosi , riak wajah dan permainan jiwa yang lebih mendalam,” kata Ruhainies.

Pelakon ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran Menantu Bilal bagi siaran Ramadan di TV3 dan kemudian meneruskan lakonannya dalam telefilem berjudul Jasmin. Selepas Ramadan, Ruhainies akan menjalani penggambaran di London dan Paris bagi drama terbitan Zeel Production iaitu telefilem Cikgu Dina Pakai Prada ke Paris dan drama bersiri Kelip Kelip Kota London.

Dalam masa yang sama, Ruhainies juga menjalani penggambaran bagi produk Himalaya dan terlibat dengan kempen jenama tersebut selama tiga bulan.

“Apa pun sepanjang Ramadan ini saya akan berehat daripada berlakon dan menumpukan aktiviti berkempen untuk jenama biskut Nora. Saya akan muncul di setiap kempen mereka sepanjang bulan puasa nanti,” kata Ruhainies lagi.

Baca lagi: Ruhainies Belum Sedia Berhijab

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here