Screen Shot 2015-08-26 at 5.21.12 PM

Oleh: NURHAZAH IBRAHIM (Sinar Harian)

JEEP adalah satu jenama kenderaan yang menjadi legenda perintis kenderaan off road dengan reputasi global.

Namun kedatangannya ke pasaran Malaysia tidaklah awal seperti mana di Indonesia. Di sana pasaran kenderaan SUV dan MPV yang besar menjadikan Jeep sebagai satu pilihan masyarakat.

Di Malaysia setelah 14 tahun, Jeep muncul semula dibawakan oleh DRB Hicom Malaysia. Namun, sayangnya harga yang tinggi membuatkan ia sukar dimiliki oleh pencinta off road. Pendek kata hanya mobil mampu tengok.

Setelah memandu dua model Jeep Grand Cherokee dan Cherokee sebelum ini, tiba masanya saya memandu uji ikon Jeep iaitu Wrangler. Di Malaysia, Wrangler tersedia dengan tiga varian iaitu Sahara, Sport dan Rubicon.

Wrangler Rubicon adalah satu nama yang tidak asing lagi. Anda tidak layak menggelar diri sendiri sebagai peminat automotif sekiranya tidak meletakkan seunit Rubicon di garaj anda.

Jangan anda tidak tahu, di garaj Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terlihat dua unit Wrangler merah dan kuning. Ini baru dikatakan pelengkap jentera kembara 4×4.

Tentunya Wrangler Rubicon adalah jentera idaman bukan sahaja bagi saya bahkan pengikut pacuan empat roda, namun faktor harga RM338,889 membuatkan saya termenung sejenak. Mungkin satu hari nanti.

Rubicon itu diambil namanya daripada medan off-road paling mencabar di Sierra Nevada, Amerika.  Sebahagian besar treknya terdiri daripada batu-batu besar.

Ramai off-roader yang sudah menakluki laluan itu dengan kenderaan yang dimodifikasi. Tidak perlu berceloteh panjang, saya lanjutkan kepada sesi pandu uji.

Kalimat pembuka di atas dirasakan cukup layak disematkan pada Rubicon. Kehadirannya jelas, dengan rekaan masih berkotak namun dengan nadi berkuasa.

Wrangler adalah antara beberapa kereta di atas jalan yang tidak mungkin berubah rupanya. Namun dengan edisi khas dan skim warna baharu dapat memberi sentuhan lebih segar.

Wrangler Rubicon dilengkapi enjin Pentastar 3.6 liter (L) V6 VVT. Ia mampu menghasilkan kuasa 284hp dan tork setinggi 347Nm.

Bersama padanan trasmisi 5-kelajuan automatik cukup lulus menghantar kuasa ke roda depan atau keempat-empat roda mengikut keperluan. Namun, di Indonesia terdapat pilihan enjin lebih kecil iaitu 3.0L V6.

Sebagai sebuah jentera off road dengan ketinggian 1,825 milimeter memerlukan sedikit anjakan untuk masuk ke dalam kabin. Tambahan tanpa pemijak kaki di bahagian tepi memerlukan saya berpaut pada tiang A. Masalah kecil bagi insan rendah seperti saya.

Namun ia bukanlah sukar apabila anda sudah biasa. Walaupun dengan mengenakan baju kurung tidak menjadi masalah untuk masuk ke dalam kabin tanpa kain terangkat tinggi.

Sebaik enjin dihidupkan, bunyi bising dan getaran adalah sederhana. Meskipun masih terdengar raungan enjin namun ia terhitung halus di telinga. Tidak terlalu mengganggu saat ingin menguji prestasi jentera.

Perjalanan ke medan off road diteruskan menuju ke Puncak Perdana. Setelah memasuki medan off road lantas saya menukar posisi gear off road ke 4L (4-Low) dan kawalan tarikan dimatikan.

Ketika ingin menukarkan gear 4L memerlukan tenaga tambahan (terutama bagi wanita) kerana ia sedikit ketat.

Menuju ke laluan yang  sedikit licin dan berbatu, Rubicon tetap mampu melaju dan cukup mulus. Saya meneruskan pemanduan ke jalan yang lebih berbatu dan tidak rata. Permukaan tanah itu bakal menguji suspensi Rubicon.

Pendikit ditekan perlahan di awalnya. Duduk di dalam kabin goncangan hebat dirasakan sehingga rakan di sebelah berubah air muka. Sambil menggenggam erat bar di papan pemuka di hadapannya, rakan saya meminta memperlahankan kenderaan.

Namun berkat pengendalian stereng yang mantap, sekali lagi harus diakui keselesaan kabin masih terjaga baik. Ketika melalui laluan yang berbukit dan sedikit tinggi, cengkaman  tayar berdiameter 17 inci berupaya keras menahan posisi kenderaan agar tidak tergelincir. Ia meyakinkan.

Cukup terasa manfaat Differential Lock Electronic. Meski melaju dalam kecepatan rendah, keseimbangan tarikan antara roda kiri dan kanan tetap stabil dan menjaga momentum jentera agar tidak bergeser.

Bahkan, adanya fungsi sambungan elektronik sway bar dan axle lock begitu mudah dilaksanakan dengan hanya menekan butang di sebelah kanan pemandu. Ciri ini banyak membantu menyerap keadaan rupa bumi yang sukar.

Di laluan off road, enjin V6 dapat menguruskan dengan baik keadaan jurang tanah mahupun batu-batuan. Tork dan penghantaran kuasa agak linear sepanjang jalan sehinggalah tork mencapai 4,800 rpm. Capaian yang  begitu cantik bagi membantu  pada kelajuan rendah ketika pemanduan off road.

Walaupun sensai Rubicon terbukti di off road, memandunya di bandar cukup menyenangkan walaupun bukan habitat aslinya.

Pengendalian terasa ringan dan mudah dipandu ketika mengelak lubang atau menyelinap antara kenderaan lain.

Akan tetapi Rubicon jauh lebih baik pada kelajuan rendah berbanding pelayaran di lebuh raya.  Memacunya di jalan raya dirasakan Wrangler tidak pernah kehilangan kuasa.

Cuma ketika memandu di selekoh pada kelajuan 70 kilometer sejam (km/j), jentera akan bergeser dan gerak badan belakang menjadi lebih liar.  Memerlukan sedikit pengendalian tambahan di situ. Bantingan suspensinya juga adalah keras.

Akan tetapi ia tidak dirasai ketika melalui jalan berlubang dengan kelajuan 30 km/j. Suspensi keras itu akan memberi impak untuk pengembaraan jauh. Perjalanan adalah nyata melenting dan kaku, dan bunyi tayar boleh didengari dari dalam kabin.

Sebagai sebuah kruiser, Wrangler cuba menjadi sebuah angkutan yang terbaik. Tetapi tidak semestinya selesa.

Namun begitu, kesan badan yang kukuh menjadikan penumpang di dalamnya lebih selamat. Bahkan badannya yang maskulin turut terlihat elegan dan menarik pandangan pengguna jalan raya yang lain dan menjadi santapan mata ketika berhenti di lampu merah. Oleh kerana ia adalah Rubicon!.

Sebelum saya terlupa, Jeep menyediakan pakej kunci Torx yang membantu pengguna menanggalkan bumbung hard top.

Secara keseluruhan, bagi menanggalkan bahagian pintu dan bumbung memakan masa 2 jam.

Dengan syarat anda mempunyai tempat untuk menyimpan semua kepingan logam dan memerlukan bantuan beberapa rakan untuk membantu mengangkat bahagian-bahagian yang lebih berat.

Menurut pihak Jeep untuk menanggalkan bahagian pintu dan bumbung belakang memerlukan empat individu mengangkatnya. Memacu Wrangler tanpa pintu dan bumbung  amat disyorkan untuk pembeli,  sekurang-kurangnya sekali sahaja untuk mendapatkan pengalaman penuh.

Namun, saya hanya dapat membuka dua bumbung di hadapan dan kemudian menyerah diri. Kerana ia terlalu memenatkan untuk mengangkat satu persatu kepingan logam berkenaan. Apatah usai membuka keseluruhan bahagian berkenaan, mungkin saya tidak akan menyatukan semula setiap kepingan.

Kehadiran Jeep Wrangler Rubicon membuktikan dirinya sebagai jentera off-road terbaik yang mampu memenuhi segala keperluan pelanggan seluruh dunia.

Kelasakan Jeep yang mampu melintasi segala medan dan dapat diaplikasikan sebagai kenderaan harian membuatkan ia tidak hanya digemari golongan adam tetapi juga wanita. Terutamanya pencinta off road.

Cuma satu perkara yang masih lagi membuatkan saya terfikir mengapa ia tidak didatangkan dengan kamera undur.  Cukup sukar bagi saya setiap kali ingin parkir kenderaan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here