Wayne Rooney puas apabila dia berjaya menyamai rekod jaringan Bobby Charlton buat England dengan 49 gol ketika anak buah Roy Hodgson membelasah San Marino 6-0 di Serravalle, awal pagi semalam untuk layak ke pusingan akhir Euro 2016.

Rooney menyumbat gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-13, membantunya menyamai rekod antarabangsa dengan Charlton dengan 106 caps dan 49 gol, namun dia perlu menunggu untuk memegang rekod itu secara bersendirian apabila dikeluarkan pada minit ke-58 di Stadio Olimpico.

England mendahului 3-0 hasil gol sendiri sumbangan Cristian Brolli, anehnya ia gol sendiri ke-49 diraih England dalam sejarah selain Ross Barkley meledak gol sulung buat negaranya diikuti dua gol pemain gantian Theo Walcott dan Harry Kane melengkapkan kemenangan besar itu.

“Ia satu saat membanggakan untuk menyamai rekod Sir Bobby Charlton,” kata Rooney. “Sasaran saya mahu terus bekerja keras dan membantu pasukan menang Selasa ini (menentang Switzerland) dan memecahkan rekod.”

England kini menjaringkan 37 gol dalam enam pertemuan dengan San Marino, kini di tangga ke-193 dunia, dan akan berdepan Switzerland di Stadium Wembley awal pagi Rabu ini memburu kemenangan kelapan berturut-turut dalam Kumpulan E, ketika tempat mereka ke kejohanan di Perancis tahun depan sudah terjamin.

“Saya lebih daripada berpuas hati dan kami menang dengan jurang besar,” kata pengurus England itu apabila pasukannya layak ketika saingan masih berbaki tiga perlawanan.

Menjelaskan keputusannya mengeluarkan Rooney, beliau berkata: “Secara jujur, kami mahu menjaga seorang dua pemain dan kami memikirkan cuba mengekalkan Wayne bagi 45 hingga ke maksimum 60 minit.”

Hodgson menggunakan peluang itu untuk menganugerahkan Jonjo Shelvey penampilan keduanya, tiga tahun selepas dia meraih penampilan sulung menentang lawan sama.

Semua mata bagaimanapun bertumpu kepada Rooney dan dia tidak mengambil masa lama sebelum menemui jaringan, menyempurnakan sepakan penalti ke penjuru kanan selepas Marco Berardi dipersalahkan kerana kekasaran yang hanya disaksikan pengadil dari Cyprus, Leontios Trattou.

Sumber: HarianMetro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here