LEBIH 40 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan akan bersama-sama menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Bukit Damansara pada 30 November ini berhubung satu perjanjian ataupun memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan Myanmar dengan Bangladesh semalam. MoU tersebut adalah mengenai usaha menghantar pulang semula pelarian Rohingya yang berlindung di Bangladesh ke tempat asal mereka di Rakhine, Myanmar.

Sehingga kini, masih belum terdapat sebarang butiran lanjut mengenai MoU antara kedua-dua negara terbabit, namun ianya tertentu sahaja terhasil daripada tekanan antarabangsa yang semakin memuncak terhadap kerajaan yang diterajui Aung San Suu Kyi. Menurut kementerian yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan usaha penempatan semula, kerajaan Myanmar akan menerima penghantaran semula pelarian Rohingya terhad hanya kepada 300 orang dalam satu-satu hari pelaksanaan.

Masa Depan Yang Tidak Menentu

Jika penghantaran pulang itu dilakukan pada setiap hari, maka anggaran itu bermakna usaha penghantaran dan penempatan semula keseluruhan pelarian Rohingya di Bangladesh ke Myanmar mungkin sahaja akan memakan masa setidak-tidaknya lima tahun. Tetapi secara rasionalnya, tentu sahaja proses itu lebih realistik dilakukan secara berkala yang akan memakan masa sekurang-kurangnya lebih sedekad. Apa pun, MoU yang ditandatangani Bangladesh-Myanmar semalam menimbulkan keresahan banyak pihak mengenai apakah pula nasib yang bakal menimpa kesemua pelarian tersebut setelah ‘dipulangkan’ kepada kerajaan yang teruk menyiksa mereka.

Sehingga kini, seramai lebih 600,000 orang etnik Rohingya dilaporkan melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos 2017 berikutan penindasan pasukan tentera Myanmar. Masyarakat antarabangsa termasuklah Amerika Syarikat (AS) sendiri menyifatkan insiden malang itu sebagai satu pembersihan etnik terancang. Bagi kesemua pelarian Rohingya, MoU tersebut hanyalah satu lagi episod duka yang menyelubungi hidup mereka, apatah lagi ianya dimeterai tanpa ada sebarang keputusan jelas mengenai hala tuju mereka selepas ini. Buat masa sekarang, nasib kesemua pelarian itu tampak seperti akan berakhir di kem-kem pelarian di Myanmar setidak-tidaknya untuk sementara waktu sebelum satu langkah lain diputuskan kerajaan majoriti Buddha itu.

Pelbagai pihak mengutuk keras perjanjian yang dicapai Bangladesh-Myanmar tersebut dengan mengatakan Bangladesh terutamanya tidak sepatutnya menghantar pulang kesemua pelarian terbabit ke Myanmar ketika mana hak mereka kepada kerakyatan dan pelbagai perkara asas yang lain masih belum terjamin. Sebelum kesemua pelarian ini tiba di Bangladesh, mereka sudahpun melalui tempoh penyeksaan yang menyedihkan lantaran terpaksa hidup dalam sebuah ‘penjara terbuka’ selama lebih tiga dekad di Myanmar. Lalu, apakah jaminan yang boleh diberikan Bangladesh mahupun Myanmar berhubung nasib kesemua pelarian tersebut selepas ini?

’Kelegaan’ Buat Bangladesh-Myanmar?

Bagi Myanmar, MoU itu merupakan satu langkah penting dalam usaha memperbaiki semula imej negara itu yang teruk tercalar di peringkat antarabangsa. Bagi Bangladesh pula, MoU itu mungkin sahaja satu kelegaan buat mereka kerana setidak-tidaknya mereka tidak lagi perlu “memeningkan kepala” mereka mengenai nasib dan masa depan pelarian Rohingya selepas ini. Sikap kedua-dua negara ini nampaknya tidak ubah seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Dalam ketiadaan sebarang butiran terperinci mengenai perjanjian tersebut, maka nyatalah kehidupan pelarian ini kelak masih lagi berada dalam keadaan yang tidak menentu.

Masakan tidak, untuk tempoh beberapa bulan ini sahaja, ratusan perkampungan mereka dibakar dan dimusnahkan tentera Myanmar. Jika mereka pulang sekalipun, mereka tentunya terpaksa berhadapan pula dengan sentimen majoriti rakyat yang lain yang terang-terangan anti-Islam sejak bertahun-tahun lamanya. Justeru, dengan menghantar pulang kesemua pelarian Rohingya itu sama sekali tidak akan menyelesaikan krisis dan konflik tersebut. Jika MoU berkenaan direalisasikan dalam masa terdekat, nasib pelarian-pelarian ini belum tentu selamat kerana pada hakikatnya mereka adalah orang yang ‘diburu’. Menghantar mereka pulang dalam keadaan seperti ini samalah seperti menyerahkan tengkok mereka untuk terus disembelih dan dikorbankan.

Peranan Masyarakat Antarabangsa

Tentu sahaja MoU tersebut boleh dilihat sebagai satu langkah kehadapan. Walau bagaimanapun, masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara Islam dan pelbagai lagi pertubuhan antarabangsa seperti PBB dan ASEAN tidak boleh terlalu selesa dengan perkembangan yang berlaku. Dalam situasi ketidaktentuan seperti ini, langkah proaktif perlu diperkasakan lagi bagi memastikan kesemua hak asasi sebagai manusia selayaknya diberikan kepada pelarian-pelarian ini dan usaha itu perlu bermula sekarang. Kebajikan dan perlindungan kepada mereka mesti dijamin dalam proses itu selain aspek pampasan yang juga sangat perlu diambil kira.

Kesemua langkah afirmatif ini perlulah dijelmakan dengan segera kerana masyarakat antarabangsa tentunya tidak mahu melihat aktor-aktor antarabangsa ini hanya pandai bercakap, tetapi tiada sebarang hasil yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Tanpa sebarang tekanan dan langkah konkrit yang diambil mengenai isu pembersihan etnik ini, nasib pelarian Rohingya tentunya tidak ubah seperti bola yang boleh ditendang ke sana ke mari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here