Roger Federer

LONDON: Roger Federer yang semakin hampir untuk mencipta sejarah dalam saingan Wimbledon, mengakui terkejut dengan prestasi cemerlangnya sepanjang saingan 2017.

Pemain berusia 35 tahun dari Switzerland itu berpeluang merekodkan gelaran kelapan Wimbledon dan menjadi pemain paling tua muncul juara jika berjaya menewaskan Marin Cilic dalam aksi final di Kelab Seluruh England, esok.

Bagaimanapun 12 bulan lalu, banyak pihak meragui kemampuan Federer untuk kembali bangkit seperti ketika dia merekodkan gelaran ketujuh Wimbledon dan 17 gelaran major selepas terpaksa berehat kerana kecederaan lutut pada 2016.

Sejak kembali beraksi pada Januari lalu, Federer berjaya memenangi Terbuka Australia yang juga gelaran Grand Slam ke-18 dalam kerjayanya, diikuti dua kejohanan Masters berturut-turut iaitu Indian Wells dan Miami.

“Saya sendiri terkejut dengan kejayaan di Australia, Indian Wells dan Miami,” kata Federer selepas menjadi pemain kedua paling tua dalam aksi final Wimbledon dalam era terbuka apabila menewaskan Tomas Berdych 7-6 (7/4), 7-6 (7/4), 6-4 pada perlawanan separuh akhir, semalam.

“Saya hanya harap dapat berada pada tahap terbaik apabila musim gelanggang rumput bermula. Tiga bulan pertama, ia bagai mimpi menjadi realiti.” “Jadi, ini sesuatu yang saya usahakan iaitu berada pada tahap terbaik untuk saingan Wimbledon.

Saya gembira kerana ia membuahkan hasil.” Sebagai rekod, Federer berjaya mara ke final Wimbledon sebanyak 11 kali tanpa tewas satu set sekalipun. Dengan rekod kemenangan 6-1 ke atas Cilic, dia diletakkan sebagai pilihan utama untuk muncul juara sekali gus mengatasi rekod yang dikongsinya bersama Pete Sampras dengan tujuh gelaran Wimbledon sejak kali terakhir memenanginya pada 2012. Federer mengakui dia merasakan sedikit istimewa apabila kembali beraksi pada di gelanggang utama, esok. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here