Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) sebagai menghargai usaha petani, penternak dan nelayan.

Menurutnya, jumlah tersebut melibatkan peruntukan dana RM7 juta daripada kerajaan.

“Ini akan memberi manfaat kepada 1 juta ahli petani, penternak dan nelayan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, dana tersebut telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Saya percaya ia menyegarkan lagi pimpinan kita di peringkat kawasan,” katanya pada ucapan perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Taman Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.

Pada ucapan itu, Najib turut mengumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) diberi tanggungjawab untuk menerajui pembangunan industri kulinari melalui aspek pertanian.

“Perancangan rapi perlu dibuat untuk mengintegrasi pengeluaran peringkat ladang sehingga ke pelbagai outlet makanan sedia ada seperti kafe, trak makanan, pandu lalu serta pesanan makanan melalui atas talian,” katanya.

Selain itu, MOA bertanggungjawab untuk menyelaras program Gedung Makanan Negara melalui pendekatan NBOS.

“Kementerian perlu mengenal pasti pihak- pihak lain yang berkeupayaan untuk menjadi Gedung Makanan Negara,” katanya.

Pertanian sebagai sumber kekayaan baharu

Najib berkata, kerajaan mahukan bidang pertanian sebagai sumber kekayaan baharu untuk rakyat.

“Rangka minda (mind set) terhadap sektor ini sebagai pendapatan minima¬† perlu diubah.

“Sebaliknya, cabaran untuk menjadikan sektor ini sebagai kekayaan baharu supaya petani, penternak dan nelayan mampu hidup senang serta menjadi kaya,” katanya.

Menurutnya, varieti kelapa hybrid iaitu careca yang berjaya dihasilkan juga berupaya menjadi sumber kekayaan baharu.

“Sehektar tanah mampu menghasilkan 35,000 biji kelapa berbanding kelapa biasa hanya 5,000 biji.

“Selain pengeluaran buah yang tinggi, kelapa careca mempunyai rasa enak dan mudah dituai kerana ketinggiannya kurang dari enam kaki,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu melihat potensi yang mungkin belum direalisasikan.

“Saya tidak pernah lupa untuk menarik pelaburan yang besar di luar negara.

“Lawatan saya ke luar negara umpannya ke China berjaya menarik pelaburan,” katanya.

Katanya, pembangkang menabur fitnah kononnya beliau menjual kedaulatan negara.

“Sebenarnya kita berjaya menarik pelaburan sebanyak RM144 bilion untuk negara.

“Siapa sebenarnya yang untung? Bukankah rakyat,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here