Tuesday, June 19, 2018
Home News Biz RM Susut Pada Nilai Terendah Sejak 1998

RM Susut Pada Nilai Terendah Sejak 1998

0
226

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Ringgit hari ini terus merosot dan buat pertama kalinya mencecah paras RM4.3 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu terendah sejak 1998, didorong kejatuhan harga minyak serta jangkaan Rizab Persekutuan AS yang bakal menaikkan kadar faedahnya bulan ini.

Pada penutupan sesi dagangan semalam, nilai ringgit ditutup kepada RM4.33 berbanding RM4.25 pada Jumaat lalu, seiring dengan kejatuhan harga minyak yang kini berlegar sekitar AS$49.61 (RM213) setong. Harga komoditi itu telah menurun 2.16 peratus berbanding Jumaat.

Penganalisis menjangka kemerosotan ringgit akan terus berlaku, terutama sekali apabila Jabatan Buruh AS pada Jumaat lalu mengumumkan ekonomi negara itu berjaya mencipta 173,000 peluang pekerjaan bagi Ogos, sekali gus terus memberi petanda bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin menaikkan kadar faedahnya.

Jangkaan bahawa AS akan menaikkan kadar faedahnya membuatkan pelabur-pelabur mengeluarkan dana masing-masing dari negara-negara pasaran baharu muncul untuk ditempatkan di pasaran modal AS. Hal itu membuatkan jumlah ringgit dilepaskan meningkat, sekali gus menurun­kan nilai mata wang tersebut.

Menurut penganalisis RHB Research, Peck Boon Soon, selain kejatuhan harga minyak yang menjejaskan ringgit, kemerosotan ringgit juga telah didorong oleh langkah China pada pertengahan Ogos lalu yang menurunkan nilai yuan, yang dilakukan bagi memastikan eksport China terus kompetitif.

“Ringgit akan terus lemah dalam masa terdekat ini. Kami tidak rasakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan berbelanja besar lagi dengan menggunakan rizab antarabangsa bagi mengawal kejatuhan ringgit.

“Ini kerana BNM perlu juga memastikan rizab antarabangsa berada pada paras yang tinggi bagi mengekalkan keyakinan pelabur-pelabur,” katanya dalam nota kajiannya mengenai prestasi ringgit hari ini.

Pada Januari 1998, ringgit mencecah rekod terendah iaitu RM4.88 sebelum kerajaan pada masa itu menguatkuasakan tambatan ringgit pada RM3.80 berbanding dolar AS, dalam usaha mengekang permainan spekulator yang telah menjejaskan beberapa mata wang lain termasuk Thailand, Indonesia dan Korea Selatan.

BNM pada Jumaat lalu mengumumkan rizab antarabangsa berjumlah RM357.7 bilion bersamaan dengan AS$94.7 bilion setakat 28 Ogos 2015, meningkat sedikit berbanding RM356.4 bilion bersamaan AS$94.5 bilion setakat 14 Ogos 2015. Bagaimanapun, rizab negara kini merosot daripada RM424.2 bi­lion semasa 29 Ogos 2014.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam), Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan kadar rizab antarabangsa yang stabil seharusnya memberikan kelegaan terhadap penurunan nilai ringgit yang mempunyai kaitan rapat de­ngan rizab antarabangsa ini.

Menurut JF Apex Securities Bhd. di dalam laporan hariannya mengenai prestasi Bursa Malaysia, tanda-tanda kemerosotan ringgit seawal pagi membuatkan prestasi indeks utama bursa FBM KLCI terus jatuh apabila ditutup pada 1,582.85 susut 6.31 mata.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebelum ini menegaskan tidak akan menambat ringgit atau memperkenalkan kawalan modal bagi membendung kejatuh­an nilai mata wang tempatan itu, seperti dilaksanakan semasa krisis kewangan 1998.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here