Pemain tengah Riyad Mahrez meneruskan prestasi hebatnya dengan meledak gol ketika membantu Leicester City meraih kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Persembahan meyakinkan yang ditampilkan pemain kelahiran Algeria itu begitupun dijangka akan mengembalikan minat beberapa kelab untuk mendapatkan khidmatnya pada perpindahan Januari ini.

Selepas perpindahan berpotensi ke kelab Serie A, AS Roma pada jendela perpindahan sebelum ini gagal, Mahrez mendapati dirinya berada dalam keadaan aneh bersama kelab yang dikatakan tidak lagi sesuai dengannya.

“Saya seorang yang amat bercita-cita tinggi dan berasa sudah tiba masanya untuk saya bergerak untuk meraih pengalaman yang baharu,” kata Mahrez dalam satu kenyataan ketika itu.

Pemain berusia 26 tahun itu tampak seperti sudah ditakdirkan untuk berada di ibu negara Itali itu tetapi selepas dua bidaan terhadapnya ditolak sehingga perpindahan ditutup, Mahrez terpaksa mengharungi musim kelimanya di Leicester.

“Kami mahukan pemain sayap yang menggunakan kaki kiri untuk menggantikan Mohamed Salah dan mahu mendapatkan Mahrez tetapi satu-satunya alasan dia tidak dapat datang kerana kelab (Leicester) tidak mahu menjualnya,” kata Pengarah Sukan Roma, Monchi kepada akhbar Itali, Gazzetta dello Sport.

Berikutan itu, Mahrez tidak beraksi tahap terbaik pada permulaan musim dan selepas melakukan dua umpanan di awal kempen, dia tidak menyumbang dalam sebarang gol buat Leicester dalam lima perlawanan berturut-turut.

Begitupun setakat ini terutama pada bulan lalu, dia sudah terbabit dalam 12 gol yang dijaringkan Leicester dalam 15 penampilan terakhir dan meledak tujuh gol dan membuat lima umpanan.

Dia turut mencipta lebih banyak peluang ketika beraksi menentang Burnley, Newcastle United dan Southampton berbanding 14 perlawanan sebelum ini dengan ketiga-tiga aksi di bawah pengendali baharu, Claude Puel yang menggantikan Craig Shakespeare.

“Saya mahu mengekalkan pemain-pemain terbaik saya,” kata Puel selepas persembahan menakjubkan Mahrez, awal pagi tadi.

“Kami akan bertanya kepadanya soalan. Bagi saya, saya gembira untuk bermain dengan pasukan bersama Riyad.”

— REUTERS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here