Ringgit meneruskan kenaikan semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini didorong oleh sentimen kukuh terhadap mata wang tempatan dalam keadaan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu lemah.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan berada pada  4.0760/0800 daripada 4.0830/0860 semasa ditutup semalam.

Peniaga berkata permintaan bagi ringgit mengukuh susulan unjuran positif daripada agensi penarafan antarabangsa dan firma penyelidikan yang mengunjurkan ekonomi Malaysia hingga akhir 2017 kukuh dan menjangka 2018 lebih kukuh.

Kumpulan Bank Dunia menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2017 berkembang kepada 5.8 peratus tahun ke tahun, kadar pertumbuhan tahunan yang tertinggi sejak 2014 dan bagi 2018, ekonomi akan terus kukuh dengan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus.

Sementara itu, Moody’s Investors Service mengunjurkan Malaysia akan dapat mengekalkan aliran pertumbuhannya yang kukuh dengan pertumbuhan jangka panjang ekonomi berpotensi terus teguh pada sekitar lima peratus, jelas lebih kukuh berbanding kebanyakan negara lain yang diberi penarafan A.

Menurutnya, defisit fiskal Malaysia akan berkurangan daripada 2.8 peratus daripada KDNK pada 2018, dan apabila pertumbuhan KDNK nominal yang kukuh meningkatkan perolehan.

“Unjuran positif ini membantu merangsang minat terhadap risiko bagi ringgit menjadikannya antara mata wang Asia meningkat dengan ketara,” kata peniaga kepada Bernama.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi kecuali yen yang susut kepada 3.6286/6328 daripada 3.6200/6233 semasa ditutup semalam.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0276/0321 daripada 3.0294/0321 pada Khamis, mengukuh berbanding pound British kepada 5.4769/4835 daripada 5.4929/4985 pada Khamis dan naik berbanding euro kepada 4.8040/8091 daripada 4.8253/8305 semalam. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here