KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, seiring kebanyakan mata wang serantau yang terjejas berikutan kebimbangan mengenai kelemahan pertumbuhan ekonomi serta data perusahaannya, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, ringgit disebut harga pada 4.2070/2150 berbanding dolar AS daripada 4.1620/1680 yang dicatatkan semalam. Bagaimanapun, Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata ringgit kini kembali stabil daripada penurunannya baru-baru ini yang dikaitkan dengan peningkatan harga minyak mentah.

“Kita tidak menjangkakan ringgit akan terus jatuh tetapi ini akan bergantung kepada pergerakan minyak mentah,” katanya kepada BERNAMA. Ringgit turut didagangkan rendah berbanding mata wang lain. Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9736/9803 daripada 2.9526/9588 semalam dan turun berbanding yen kepada 3.5096/5178 daripada 3.4741/4800 sebelum ini.

Unit tempatan itu turut susut berbanding pound sterling kepada 6.4346/4477 daripada 6.3803/3920 semalam dan turun berbanding euro kepada 4.7455/7549 daripada 4.6927/6003 sebelum ini.

Sumber: BERNAMA

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here