Ringgit

Ringgit diramal kekal kukuh berbanding dolar US minggu depan berikutan data ekonomi yang lebih mantap yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut laporan ekonomi yang dikeluarkan semalam, ia menunjukkan perdagangan Malaysia tumbuh 31.5 peratus kepada RM153.3 bilion pada Mei 2017 berbanding RM116.6 bilion pada bulan yang sama tahun lepas.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, laporan itu serta petunjuk ekonomi baru-baru ini menunjukkan ekonomi Malaysia mengalami pemulihan yang lebih kukuh daripada jangkaan.

“Setakat ini tahun ini, mata wang tempatan itu telah meningkat 5.2 peratus berbanding dolar AS.

“Kita melihat asas ekonomi Malaysia yang semakin baik bagi mengatasi risiko pengetatan dasar ekonomi AS,” katanya kepada Bernama.

Nazri Khan berkata, ringgit adalah mata wang Asia paling kukuh pada suku ini, melonjak lebih dua kali ganda menjadi yang kedua tebaik selepas yuan China.

Beliau yakin dengan pertumbuhan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan ketara dalam eksport dan permintaan luar akan menawarkan lebih banyak sokongan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Ketika kita mempunyai prospek yang lebih positif daripada kelemahan harga minyak mentah, kita akan melihat ringgit meningkat ke paras 4.15 berbanding dolar menjelang akhir tahun jika dana asing erus merosot,” katanya.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit bergerak antara 4.2900 dan 4.2970 berbanding dolar US, terutama dipengaruhi konflik antara AS dan Korea Utara, isu berkaitan dasar kewangan AS, harga minyak mentah serta data perdagangan Malaysia yang dikeluarkan pada Jumaat.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan lebih rendah kepada 4.2970/3000 berbanding dolar US berbanding 4.2920/2950 Jumaat lalu.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain, kecuali euro.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1088/1123 daripada 3.1181/1220 minggu lepas, naik berbanding yen Jepun kepada 3.7799/7829 daripada 3.8328/8365 dan menambah berbanding pound Britain kepada 5.5466/5522 daripada 5.5757/5801 Jumaat lepas.

Ringgit merosot berbanding euro kepada 4.9046/9085 daripada 4.8963/8015.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here