Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang dipimpin bekas Naib Presiden UMNO dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bercita-cita untuk muncul sebagai kuasa baru dalam politik Sabah. Parti berkenaan memberi fokus untuk menguasai negeri berkenaan dan dilihat mesra dengan Pakatan Harapan (PH). Walaupun tiada sebarang konsensus atau perbincangan rasmi dicapai, namun penganalisis politik pecaya menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti pasti akan wujud pakatan di Sabah yang turut meletakkan WARISAN sebagai antara parti politik utama dan akan diberikan keutamaan untuk bertanding.

Kekuatan parti ini sehingga kini masih belum teruji dalam mana-mana medan pilihan raya, malah ada yang melihat parti ini dibentuk dengan model yang sama dengan BERSATU, Cuma fokusnya tetap kepada negeri Sabah sahaja. Ada yang menyifatkan WARISAN sebagai parti orang kecewa, namun kita lihat sebenarnya parti berkenaan cuba meluaskan pengaruhnya di seluruh negeri Di Bawah Bayu itu. Berdasarkan kepada tinjauan semasa, parti berkenaan sudah mula diterima oleh rakyat di beberapa kawasan yang mempunyai pengaruh kuat Shafie seperti di Tawau dan Semporna, namun di kawasan-kawasan lain, hal berkenaan belum dapat dinilai dengan nyata.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkarkan skandal penyelewengan dana berjumlah lebih RM1.5 bilion dan dalam siasatan berkenaan Ketua Pemuda WARISAN dan salah seorang Naib Presiden WARISAN telah ditahan reman untuk membantu siasatan. Namun sehingga kini, belum ada penjelasan lanjut tentang penglibatan kedua-duanya dalam skandal yang mengejutkan negara ini.

Walaupun masih belum ada apa-apa pendakwaan dan siasatan masih sedang dijalankan, namun penahanan dua pemimpin utama WARISAN ini secara tidak langsung memberikan persepsi negatif terhadap keupayaan WARISAN menangani hal-hal berkaitan integriti. Lebih memedihkan bagi parti berkenaan ialah apabila adik kepada Shafie turut ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan dan rumah beliau juga digeledah badan pencegah rasuah itu.

Sabah merupakan negara yang kaya dengan hasil bumi dan pelbagai bentuk komoditi bernilai tinggi, namun negeri berkenaan masih tidak dapat bergerak maju dari sudut ekonomi dan pembangunan sosial disebabkan oleh kekangan korupsi dan salah guna kuasa seperti ini. WARISAN yang cuba menjadi alternatif juga kini sedang dipalit kes korupsi, walaupun masih belum dibuktikan sebagai bersalah namun rakyat Sabah kini berada dalam dilema.

Ketika WARISAN berusaha mengembangkan pengaruhnya, kini mereka terdedah pula dengan hal yang memerangkap perjuangan sendiri. Jelas dalam hal ini rakyat Sabah perlu membuat pilihan bijak dan jika rakyat Sabah membuat keputusan untuk menolak Barisan Nasional (BN), adakah WARISAN yang dilihat sebagai alternatif itu mempunyai keupayaan yang setanding? Itu satu hal yang wajar difikirkan oleh pengundi yang bakal membuat keputusan sebelum memberikan tanda pangkah kepada parti yang dipilih.

Gelora yang sedang melanda WARISAN ini bukan satu hal kecil, ini kerana WARISAN membuat tawaran yang besar untuk menjadi kuasa utama di negeri berkenaan, tetapi dengan noda yang sedang berlaku ini, adakah WARISAN masih kekal sebagai pilihan terbaik kepada rakyat Sabah? Itu kita tidak pasti dan jika keputusan siasatan dan pendakwaan mendapati terdapat salah guna kuasa kepada mereka yang ditahan, sudah tentu masa depan WARISAN akan malap, namun jika keputusan siasatan menunjukkan sebaliknya, maka WARISAN boleh bersedia untuk menjadi pencabar utama di negeri Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here