Sebut sahaja nama Datuk Seri Jamal Md Yunos kita pasti akan teringat-ingat aksi beliau yang kadangkala menghiburkan hati dan ada pula yang disifatkan sebagai pelik dan menjengkelkan. Apa pun padangan umum terhadap beliau, secara tidak langsung kita harus mengakui Jamal ialah salah seorang figura penting yang mewarnai kancah politik tanah air. Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO di Sungai Besar, Selangor dan Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia dilihat sering menimbulkan kontroversi dengan mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Pelbagai gaya yang dibuat beliau termasuk datang berdemo dengan jubah mandi dan bertuala, membawa keranda, memecahkan botol arak dan sebagainya. Beliau dilihat tekal dalam mendesak dan membantah tindakan-tindakan yang disifatkan beliau tidak adil dan memberikan keadaan yang tidak selesa kepada rakyat. Sebenarnya kalau dilihat secara positif apa yang dilaksanakan Jamal ini merupakan satu proses semak dan imbang yang sebenarnya membantu Kerajaan Selangor untuk lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Baru-baru ini Jamal melaksanakan satu usaha yang sebenarnya memberi manfaat besar kepada rakyat secara keseluruhannya apabila beliau membuka dua cawangan restoran yang memberikan makanan percuma kepada orang awam tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau pun pandangan politik. Dua cawangan yang dibuka di Sekinchan dan Kuala Lumpur itu memberi manfaat kepada rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan makanan tanpa mengeluarkan sebarang kos.

Berdasarkan kepada tinjauan yang dibuat restoran yang menyediakan makanan tengahari itu memberi manfaat kepada lebih 1,500 orang di kedua-dua lokasi berkenaan pada satu-satu masa dan dianggap sebagai satu inisiatif paling berkesan yang mampu mengurangkan bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat kini. Restoran yang dibuka dari jam 11 pagi hingga 3 petang itu menyediakan menu yang berbeza-beza setiap hari dan ini memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Usaha yang dilakukan oleh Jamal ini sebenarnya wajar dicontohi oleh individu atau syarikat korporat yang berkeupayaan untuk sama-sama membantu golongan berpendapatan rendah khasnya di kawasan bandar. Selain daripada menyediakan makanan kepada golongan tidak berumah, usaha seperti ini juga wajar diberikan perhatian untuk meringankan beban khasnya golongan miskin bandar yang sebenarnya berdepan tekanan hidup lebih kuat.

Malaysia memerlukan hubungan yang harmoni untuk terus bergerak ke hadapan dan sikap saling membantu dan meringankan beban golongan tidak bernasib baik merupakan satu usaha terbaik yang boleh dilakukan. Tidak hanya bergantung kepada apa yang boleh diberikan Kerajaan, namun sikap masyarakat yang mengambil peduli dan membantu secara cepat juga mampu menyelesaikan masalah dengan baik dan segera.

Kita harus menuju ke satu keadaan di mana Kerajaan bukan mencampuri segala urusan yang boleh diselesaikan melalui hubungan masyarakat yang akrab. Cita-cita melihat Malaysia untuk menjadi negara peduli seperti ini memerlukan perubahan sikap yang menyeluruh dan sistem masyarakat harus dibaiki untuk mewujudkan keadaan ini. Jamal sudah memulakan usahanya sendiri dan bagaimana pula dengan kita?

SHARE
Previous articlePM Mahu Kedah Kekal Bawah BN
Next articleWhat’s The Hold Up RoS?
Fuad Shahdan adalah wartawan jalanan dan juga kolumnis Malaysian Access. Beliau melihat isu dari kaca mata tanpa prejudis dan boleh membuatkan manusia terasa hati. Yang benar memang pahit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here