PENYANYI Reshmonu kini tampil dengan gaya rambut baharu apabila rambutnya yang dahulu berjurai panjang gaya conrows di potong pendek dan disikat kemas ke belakang.

“Hampir 10 tahun saya kekal dengan gaya rambut sama. Sudah tiba masanya untuk tampil dengan imej baharu,” jelas Resh atau nama sebenarnya, Hiresh Haridas, 39, membuka bicara.

Penyanyi yang dahulunya cukup sinonim dengan irama fusion, blues dan soul itu mengakui, keputusan untuk memotong rambut diambil bagi mengambil kira transisi baharu dirinya sebagai seorang penyanyi.

Tutur Resh, transisi tersebut merupakan salah satu kelainan yang ingin diketengahkan selain memacu karier nyanyiannya ke peringkat antarabangsa menerusi single terbaharu berjudul Half The Man.

“Sekitar empat bulan lalu, saya diterbangkan ke Korea Selatan bagi merakamkan klip video lagu Half The Man.

“Klip video tersebut mendapat sentuhan pengarah dan jurugaya di sana. Jadi, alang-alang sudah berada di Korea, saya mengambil keputusan untuk mencuba gaya rambut baharu,” katanya.

Menurut Resh, dia bagaimanapun tidak pernah menyesal mengorbankan rambut yang sudah menjadi signatur gayanya demi pembaharuan genre muzik yang dipilih.

“Peminat mengikuti saya kerana muzik yang dihasilkan. Setakat ini, saya menerima komen yang positif daripada mereka.

“Sejujurnya, saya berasa sungguh selesa dengan imej baharu ini dan bersedia untuk menjengah pasaran antarabangsa menerusi muzik yang saya hasilkan,” jelasnya lagi.

Bercerita lanjut mengenai lagu tersebut, Resh memberitahu, Half The Man merupakan sebuah karya berentak R&B komersial yang ditulis oleh penulis lagu dan penerbit terkemuka, Jim Beanz.

“Proses rakaman lagu tersebut dijalankan sepenuhnya di Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat sekitar setahun yang lalu.

“Dalam masa yang sama, kami turut mengumpul dan merakamkan lagu untuk dimuatkan ke dalam album EP yang bakal menemui peminat pada penghujung tahun ini,” katanya lagi.

Ditanya mengenai perancangannya untuk menembusi pasaran antarabangsa, Resh berkata, ia bermula apabila presiden Universal Music Group Asia, Sandy Montero mendengar lagu-lagu yang dirakamkan bersama Beanz.

“Beliau sangat menggemari lagu-lagu yang telah saya rakamkan.

“Jadi apabila dilamar oleh pihak Universal Music Group Asia, saya berasa sungguh berbesar hati,” ujar Resh yang kini diuruskan sepenuhnya oleh Universal Music Group Asia.

Tambah Resh, lagu Half The Man kini telah dimainkan di stesen-stesen radio di Malaysia, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Filipina dan India.

Tidak hilang

Sepanjang bergelar penyanyi, Resh telah menghasilkan empat buat album iaitu Monumental yang diterbitkan pada tahun 2003, Monumental: The Journey Continues (2005), Superfine (2007) dan Harapan (2009).

Antara lagu-lagu yang pernah menjadi siulan peminatnya termasuklah Walk Away, Cintaku Pergi, Hey Waley dan Kiranya Tiada Lagi.

Resh juga pernah muncul di layar lebar menerusi filem Hantu Gangster dengan memegang watak Arulkumar pada tahun 2012.

Bagaimanapun, selepas muncul dalam filem tersebut, namanya seperti hilang daripada radar dunia hiburan tempatan.

Mengakui masih terlibat dalam industri hiburan sepanjang tempoh ‘kehilangannya’ itu, Resh berkata, dia terlalu sibuk menguruskan lima syarikat miliknya.

“Saya tidak pernah menghilang, cuma terlalu sibuk menguruskan syarikat rakaman, penerbitan muzik dan syarikat pengurusan bakat.

“Selepas beberapa tahun melakukan rutin yang hampir serupa, saya mengambil keputusan untuk kembali menyanyi,” katanya.

Usia

Jika dilihat pada usianya, mungkin ada segelintir yang menganggap percubaan Resh mahu menembusi pasaran antarabangsa sudah agak lewat.

Bahkan, kebanyakan artis muda yang cuba untuk menempa nama di persada antarabangsa turut merasai kepayahan bagi memasarkan muzik mereka di negara orang.

Melihat kematangan usianya hanya sekadar pertambahan angka, Resh berpendapat, apa yang penting adalah muzik dan karya yang ingin diketengahkan.

“Terlambat? Bagi saya tiada istilah lambat dalam berkarya. Jika muzik yang ingin diketengahkan bagus, usia hanyalah angka.

“Di peringkat antarabangsa, kebanyakan penyanyi yang mengeluarkan lagu-lagu berkualiti adalah mereka yang telah berusia. Pada usia 40 atau 50 tahun, mereka masih menghasilkan muzik,” ujarnya yang sangat menitik beratkan nilai dan kualiti muzik yang dihasilkan.

Berbalik kepada soal usia, Resh memberitahu, dia kini kerap melakukan senaman bagi meningkatkan stamina dan memperbaiki gaya hidupnya.

“Sejak kebelakangan ini, saya sering melakukan senaman di gimnasium.

“Selain dapat meningkatkan stamina, ia turut membantu memberi tenaga tambahan untuk saya meneruskan kerjaya sebagai seorang penyanyi,” ujar Resh yang selalu berkongsi rutin senamannya menerusi akaun Instagram.

Kenang jasa negara

Bernaung di bawah Universal Music Group Asia memerlukan Resh untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke luar negara bagi mempromosikan lagu Half The Man.

Namun, tidak pernah terlintas dalam kotak fikirannya untuk berpindah dan menetap di luar negara bagi memudahkan setiap urusan rangka promosi.

“Saya memang kerap ke luar negara atas urusan kerja. Tetapi, Malaysia tetap akan jadi rumah saya.

“Sebagai seorang anak Malaysia, saya tidak pernah melupakan jasa yang diberikan negara ini kepada saya sewaktu mula-mula bergelar penyanyi.

“Oleh kerana peluang yang ada di Malaysia, saya mampu untuk bertahan sehingga ke hari ini. Untuk berhijrah ke negara lain, tidak sama sekali. Saya sangat sayangkan Malaysia,” ujarnya menutup perbualan.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here