Pelakon dan pengarah filem terkenal Datuk Farid Kamil Zahari disambung reman sehari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes menampar seorang polis dan menendang 2 orang awam, Khamis lepas.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Hairul Azhar Mohd Ishak terhadap pelakon itu hari ini selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan remannya mengikut Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Farid, 37, yang berkemeja denim biru, seluar lokap ungu dan berkaki ayam diiiringi polis ke bilik reman pada 11.30 pagi untuk prosiding reman dan dibawa keluar sejam kemudian.

Ketika dibawa ke bilik reman, bapa kepada 2 anak itu sempat melemparkan senyuman sambil melambaikan tangannya ke arah warga media dan orang awam yang merakam gambarnya dan bersalaman dengan 2 rakan artis iaitu pelakon, Azad Jazmin dan Azhan Rani yang turut hadir dan turut kelihatan juga adalah adik Farid, Fadzil Bahari.

Selepas prosiding reman selesai, Farid ketika dibawa menaiki kenderaan polis sempat menjawab pertanyaan media mengenai keadaan dan kesihatannya dan menjawab, “Okay, syukur, Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah semua berlangsung dengan aman, terima kasih semua.”

Jumaat lepas, Farid yang diwakili Peguam Athari Bahardin ditahan reman 4 hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Dalam kejadian kira-kira 1.20 tengahari Khamis lepas, pelakon itu dilaporkan datang ke sebuah balai polis untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan didakwa menampar muka polis lelaki yang menerima aduan itu sambil disaksikan beberapa polis lain dan orang awam. Selain didakwa mencederakan polis berusia 24 tahun itu, Farid juga dipercayai berkelakuan ganas dengan menendang 2 orang awam di lokasi sama.

Terdahulu, Azad ketika ditemui Bernama, berkata beliau hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan kepada Farid.

“Saya datang sini memang nak tahu apa masalah kawan saya, saya kenal dia pun berbelas tahun, saya bermula buat episod Samarinda TV3 pun dengan Farid, jadi salah tetap salah kalau memang kesalahan dia… tapi di sebalik kesalahan ini, kita pun nak tahu ‘side’ Farid juga… sebagai kawan saya akan beri ‘support’,” katanya.

Azhan pula berkata kehadiran beliau diharap memberi semangat kepada Farid dan menunjukkan masih ramai rakan prihatin terhadap dirinya.

“Saya datang beri sokongan kepada Farid yang sama-sama dalam industri, pernah mengenali beliau semasa belajar di UiTM dulu sebagai pelajar drama dan teater. Memandangkan hari ini saya ada masa, jadi saya nak dia (Farid) tahu yang dia masih punya sokongan. Kami nak dia tahu masih ramai sayangkan dia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here