jitn

RAKYAT pastinya bingung dan pasti tertanya-tanya kenapakah se­cara tiba-tiba lahir pula Ja­batan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).

Kalau mengikut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low, jabatan itu akan bertanggungjawab menjadi badan penyelaras bagi melaksanakan transformasi di dalam sektor awam dan swasta bagi menumpukan perhatian kepada tadbir urus baik, integriti dan hak asasi manusia.

Lebih menarik lagi, jabatan berkenaan akan mempunyai peruntukan dan kakitangan sendiri untuk menyokong trans­formasi yang perlu dilakukan dalam mencapai objektif di bawah Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Persoalannya, perlukah lagi sebuah jabatan ditubuhkan jika kita bercakap soal integriti dan tadbir urus baik?

Adakah segala tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini yang berjaya mewujudkan kegerunan orang ramai mengenai amalan rasuah, salah guna kuasa dan mewujudkan tadbir urus baik masih belum mencukupi?

Dalam memperkatakan ini, timbul juga persoalan kenapakah kerajaan tidak memperkasakan sahaja SPRM dengan memastikan agensi itu memperkukuhkan lagi peranan seperti mana yang mahu direalisasikan melalui penubuhan JITN?

Kini bukan sahaja SPRM malah pelbagai pihak membantah penubuhan JITN.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad dengan lantangnya menolak hasrat Paul Low menubuhkan JITN. Pertentangan Dzulkifli dan Paul Low dalam isu itu makin panas.

Dzulkifli mempunyai hujah yang konkrit, begitu juga pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

Rumusannya JITN tidak relevan dan tiada keperluan, hanya bertindih skop peranan dan suatu pembaziran.

Sedangkan kerajaan sepatutnya memperkasakan lagi SPRM dengan pertambahan peruntukan kewangan dan tenaga kerja yang sewajarnya memandangkan beban tanggungjawab yang besar.

Jika Kabinet meneruskan juga penubuhan JITN ia memberi mesej yang salah kepada rakyat.

Setakat ini penjelasan Paul Low tidak menyakinkan walaupun JITN dikatakan tidak mengganggu kuasa SPRM dan institusi bebas yang lain.

Adalah lebih baik segala tumpuan diberikan bagi penambahbaikkan kebajikan anggota-anggota penguatkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang perlukan perhatian dan tindakan.

Masalahnya kita di Malaysia ghairah mahu mewujudkan pelbagai institusi tetapi tidak ghairah dalam memastikan keberkesanan peranannya.

Apapun yang pasti Dzulkifli mendapat gelombang sokongan yang besar bagi menolak JITN. Lebih-lebih lagi SPRM telah memberi impak yang tinggi sejak diterajui beliau, dengan banyak pembongkaran rasuah dan salah guna kuasa meliputi banyak kes berprofil tinggi. Walaupun SPRM adalah institusi bebas, ia turut memberi kesan positif dalam melonjakkan imej kerajaan dan keyakinan rakyat.

Adakah JITN akan menghilang taring yang dimiliki SPRM dalam membanteras jenayah rasuah di negara ini?

Rasuah tidak mampu diselesaikan hanya melalui penubuhan pelbagai agensi atau jabatan baharu.

Penubuhan JITN seolah-olah memberi gambaran negatif kepada SPRM bahawa suruhanjaya itu tidak mampu melakukan tugas dengan baik.

SPRM sejak kebelakangan ini semakin agresif menangani jenayah tersebut melalui pelbagai siri tangkapan dan pendakwaan melibatkan kes-kes berprofil tinggi sehingga digeruni banyak pihak.

Jika dilihat, penubuhan JITN akan menyebabkan pertindihan tugas dan ia bukan satu jaminan akan ada perbezaan fungsi yang boleh menyelesaikan secara menyeluruh isu rasuah.

Kerajaan tidak boleh membuat keputusan berdasarkan desakan pihak tertentu kerana isu integriti dan tugas membanteras rasuah adalah komponen sama di bawah SPRM.

Adakah JITN akan memantau apa yang dilakukan oleh SPRM?

Kewujudan entiti pencegahan rasuah di Malaysia bermula dengan sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti pencegahan rasuah.

Ketika itu, siasatan kes rasuah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (Jenayah Khas) di bawah pasukan Polis DiRaja Malaysia manakala pendakwaan kes rasuah pula dikendalikan oleh Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara.

Kerajaan kemudiannya telah menggabungkan usaha pencegahan rasuah oleh ketiga-tiga agensi itu dengan mewujudkan Badan Pencegah Rasuah pada 1 Oktober 1967.

Pada 29 Ogos 1973, entiti pencegahan rasuah negara diwujudkan secara undang-undang apabila Akta Biro Siasatan Negara diperkenan, sekaligus mengubah entiti BPR kepada Biro Siasatan Negara (BSN). Perubahan itu telah meluaskan kuasa perundangan BSN dengan mandat untuk menyiasat kes berkaitan kepentingan negara, disamping kes rasuah.

Bagaimanapun, perubahan sekali lagi berlaku apabila Akta Badan Pencegah Rasuah 1982 diluluskan oleh Parlimen pada 13 Mei 1982. Akta ini meletakkan semula tugas pencegahan rasuah kepada BPR yang secara rasminya juga menggantikan BSN.

Perubahan ini memartabatkan peranan BPR sebagai entiti tunggal yang dipertanggungjawabkan khusus untuk mencegah jenayah rasuah.

Pada tahun 2008, Parlimen telah bersetuju supaya satu SPRM diwujudkan bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR), selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional.

Dengan itu juga, Akta Badan Pencegah Rasuah 1982 telah digantikan dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mula beroperasi secara rasminya pada 1 Januari 2009 bersama-sama penguatkuasaan Akta SPRM 2009.

Transformasi BPR kepada SPRM bukan pada nama semata-mata.

Perubahan yang dilakukan bertujuan meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia, sekali gus menangkis persepsi negatif terhadap SPRM yang sebelumnya dianggap tidak bebas dan tidak telus.

Adakah kerajaan masih tidak yakin terhadap SPRM dalam mencegah rasuah?

Mana-mana institut yang menjalankan tugas integriti sepatutnya disatukan dan diletakkan di bawah SPRM sekali gus mampu menguatkan suruhanjaya itu dalam memerangi rasuah.

Itulah yang lebih penting daripada mewujudkan pula satu jabatan baharu.

Paling penting misi utama mencegah rasuah dapat direalisasikan.

1 COMMENT

  1. Itulah salah satu ‘ cara ‘ pemimpin negara nak habiskan khazanah negara dan mengagihkan kepada para kroni untuk menjawat berbagai jawatan baru dan mendapat imbuhan . Rakyat turit bingung dengan banyaknya pegawai dan jawatan diwujudkan, tapi hasilnya pi mai pi mai, tang tu jugak !.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here