Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata membaca senarai reformasi yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan hari ini adalah seperti membaca salinan deklarasi sebelumnya yang dibuat sejak 20 tahun lepas sejak 1998.

Beliau berkata reformasi teras 13 perkara itu adalah antara pengumuman yang dibuat hari ini yang akan dilaksanakan dengan segera jika gabungan iutu memenangi pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Sebagai contoh, perkara mengenai reformasi Parlimen dan menjadikannya sebuah institusi bebas telah diulang-ulang selama lebih 20 tahun.

“Sistem Parlimen Malaysia berfungsi seperti sistem Westminster Britsih yang menyaksikan anggota parlimen mengundi mengikut parti dan tidak seperti Senat/Kongres di Amerika Syarikat apabila anggota Senat/Kongres mengundi bukan berdasarkan parti. Jadi, bagaimana pakatan hendak memenuhi janji ini sedangkan mereka memecat anggota part i sendiri yang contohnya, mengundi menyokong rang undang-undang kerajaan?,” kata Salleh menerusi catatan dalam laman blog beliau sskeruak.blogspot.com, malam ini.

Beliau juga berkata, yang anehnya ialah dahulu, agenda reformasi 13 perkara ini adalah sebab yang diberikan oleh pembangkang tentang mengapa bekas perdana menteri itu Tun Dr Mahathir Mohamad harus disingkirkan dan diganti.

“Kita perlu menyingkirkan Mahathir, kata mereka, supaya reformasi dapat dilaksanakan, dan selagi Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri, Malaysia tidak akan “melihat” reformasi.

“Hari ini mereka memberitahu kita Mahathir mengetuai agenda reformasi ini. Dan untuk menjadikan  Mahathir perdana menteri mereka untuk membantu memperjuangkan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara sedangkan Anwar dipenjarakan pada 1998 disebabkan Mahathir, ini adalah  situasi yang sangat mengelirukan,” kata beliau.

Pakatan Harapan hari ini mengumumkan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  sebagai calon timbalan perdana menteri jika pembangkang memenangi PRU-14. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here