TIDAK cukup dengan karenah AMANAH dan DAP yang baru-baru ‘membuat hal’ dalam isu pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan kesemua parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Selangor, semalam muncul pula PPBM dengan kenyataan mereka yang terus memeningkan PKR yang telah dua penggal mengetuai kerajaan negeri.

Umum mengetahui bahawa sebelum ini, AMANAH dan DAP masing-masing mempersoalkan kepimpinan Datuk Seri Mohd Azmin Ali selaku menteri besar dan Pengerusi PH Selangor apabila PKR dikatakan menolak secara mentah permintaan kedua-dua parti itu untuk menubuhkan jawatan kuasa khas bagi pembahagian kerusi DUN.

Kelmarin, apabila PH Selangor menyatakan bahawa rundingan empat parti komponen mereka ke atas 35 daripada 56 kerusi di negeri itu telah selesai, tiba-tiba sahaja PPBM Selangor semalam mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mengiktiraf keputusan yang dibuat oleh pimpinan PH negeri berkaitan hal itu. Kenyataan tersebut dikeluarkan sebaik sahaja PPBM Selangor selesai mengadakan mesyuarat parti.

Punca PPBM Selangor bertindak demikian adalah kerana mereka tidak berpuas hati apabila tidak diberikan 12 kerusi DUN yang dimenangi oleh UMNO pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu. Sebaliknya, PKR pula yang menuntut kesemua kerusi tersebut. Untuk rekod, kesemua 12 kerusi yang dimenangi UMNO itu adalah Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali, Sungai Burong, Permatang, Bukit Melawati, Jeram, Kuang, Semenyih, Kota Damansara dan Dengkil.

Alasan yang diberikan PPBM Selangor dalam hal ini sangat mudah: PPBM ditubuhkan untuk menyaingi dan menggantikan UMNO, maka parti itulah yang lebih layak diberikan mandat untuk bertanding di kesemua 12 kerusi tersebut.

Perkembangan terbaharu di Selangor ini memberikan bayangan kepada rakyat bahawa PH masih tidak sunyi daripada konflik dan krisis bukan sahaja di negeri itu, bahkan di beberapa negeri yang lain juga. Tuntutan PPBM Selangor yang bertegas dan berkeras mahukan kesemua 12 kerusi itu diberikan kepada mereka jelas menunjukkan betapa bongkak dan egonya parti setahun jagung tersebut.

Lagak parti itu umpama mereka sudah berada begitu lama dalam agenda perjuangan politik pembangkang, sedangkan umur parti yang ditunjangi bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad itu belum pun mencecah setahun setengah. Malah, parti itu juga belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya dan tampak begitu ‘kekok’ pula untuk berdiri atas kapasiti pembangkang. Tetapi para pemimpin dan ahli parti itu nampaknya sudah berlagak pandai bercakap tentang ‘reformasi’ lebih daripada parti politik pembangkang yang sudah jauh lebih tua dan lama daripada mereka.

Belum pun sempat gelanggang PRU dibuka, PPBM terus berlagak seolah-olah merekalah ‘abang besar’ dalam pakatan pembangkang. Jelas sekali apa yang mereka kejar dalam perjuangan pakatan itu hanyalah kuasa, bukannya agenda perubahan sistem yang sekian lama dijuarai blok politik itu khususnya PKR. Dengan protes terbuka yang ditunjukkan PPBM ini, ternyata kepimpinan PH di Selangor kini mengalami krisis paling teruk berikutan kesemua parti komponen itu dilihat hanya mementingkan agenda masing-masing.

Ditubuhkan pada 7 September 2016, PPBM tidaklah sepatutnya berlagak seolah-olah ia adalah parti yang paling berpengaruh dalam PH. Biarpun Mahathir adalah calon yang diketengahkan untuk menjadi perdana menteri sekiranya BN berjaya ditumbangkan kelak, PPBM nampaknya masih belum mahu sedar bahawa parti itu mempunyai asas sokongan yang paling lemah dalam PH. Bahkan ia jugalah parti yang paling bermasalah dengan segala kepincangan dalam pengurusannya.

Dengan segala kekusutan yang melanda, bagaimana mungkin PPBM mahu menyaingi, apatah lagi menggantikan UMNO sedangkan parti politik tertua negara itu sangat kukuh asas sokongannya, dan tersusun kemas pula organisasinya? Jelas sekali dalam hal ini, PPBM masih lagi perasan bahawa ia sudah kuat dan sudah cukup bagus untuk menggantikan BN.

Matlamat politik PPBM hanyalah bagi menjatuhkan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan mengembalikan legasi politik Mahathir. Bukan rahsia lagi bahawa PPBM juga mahu menaikkan anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz sebagai perdana menteri berikutnya sekiranya PH berjaya menawan dan mengekalkan pentadbiran di Putrajaya untuk tempoh masa yang panjang. Maka tidak hairanlah orang ramai melihat PPBM hanyalah sebuah parti yang ditubuhkan bagi memenuhi nafsu politik individu bernama Mahathir. Sedang anak beranak itu menikmati laba di depan mata, yang dibawah terus terperangkap dengan permainan politik kotor mereka.

Politik yang hanya memecah-belah ini sewajarnya ditolak semua rakyat. Justeru, kita tidak sedikit pun berasa pelik mengapa Sultan Kelantan merangkap Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad V menarik balik Darjah Kebesaran (DK) Al-Yunusi yang dianugerahkan kepada Mahathir pada 2002. Punca utamanya mungkin tidak kita tahu, tetapi cukuplah ianya memberikan isyarat kepada kita bahawa politik bawaan Mahathir dan PPBM sama sekali tidak baik untuk rakyat. Jika tidak, masakan darjah kebesaran seperti itu ditarik balik.

Tindak-tanduk PPBM dalam isu pembahagian kerusi Parlimen dan DUN di beberapa negeri mutakhir ini sepatutnya menyedarkan komponen PH yang lain khususnya PKR bahawa parti paling bongsu itu sememangnya tidak berkongsi keazaman politik yang serupa dengan mereka. Apa yang parti pimpinan Mahathir itu mahukan hanyalah kuasa. Jika pun PH berjaya membentuk kerajaan pasca PRU kelak dan Mahathir pula diangkat menjadi perdana menteri, siapa pula yang dapat memberi jaminan bahawa agenda perjuangan dan perubahan yang selama ini dicita-citakan PKR, AMANAH dan DAP akan terus dipelihara ‘bakal’ perdana menteri tertua di dunia itu?

Dengan sikap yang terlalu mementingkan diri seperti yang ditunjukkan PPBM sekarang, tidak mustahil mereka akan terus ‘mempersetankan’ agenda perjuangan PH setelah kuasa berjaya mereka ‘rentap’ daripada BN kelak. Maka sebelum perkara tersebut berlaku, rakyat sudah mula menilai kemungkinan seperti itu. Tindak-tanduk PPBM yang gemar berlagak besar dalam PH dan nafsu menggila mereka terhadap kuasa hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan PH di masa hadapan. Jika PH sendiri sudah kucar kacir dan berada dalam keadaan tidak menentu seperti yang terlihat sekarang, rakyat nampaknya hanya mempunyai BN sebagai pilihan yang lebih realistik untuk terus memacu kepimpinan negara pasca PRU kelak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here