Belanjawan alternatif Pakatan Harapan bagi mansuh GST dan menggantikannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilihat tidak membantu isi rumah.

Penganalisis Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari berkata, secara prinsipnya, sistem GST adalah lebih baik kerana ianya cukai yang dikenakan ke atas nilai ditambah dan bukan ke atas nilai jualan barang seperti amalan SST.

“Jadi, kos pengeluaran sepatutnya lebih murah di bawah sistem GST selain ianya meningkatkan kecekapan ekonomi. Jangkaannya, GST akan mengurangkan harga barangan di dalam pasaran.

“Bagaimanapun, realitinya amalan GST di Malaysia tidak menunjukkan penurunan harga barangan dan tiga faktor yang menyumbang kepada jurang jangkaan dan realiti,” katanya.

Beliau berkata, pertama, tidak semua firma yang beroperasi patuh kepada sistem GST. Sebahagian besarnya masih amalkan sistem SST atau kedua-duanya. Kedua, pemantauan dan penguatkuasaan yang lemah oleh pihak berwajib kepada kepatuhan sistem GST.

Katanya, ketiga, kesan berganda akibat daripada faktor bukan GST seperti kejatuhan nilai ringgit dan dasar yang cenderung untuk menekan kenaikan harga seperti upah minimum.

“Jika cukai GST dihapuskan, ini bermakna ekonomi akan mengguna pakai kadar cukai yang lebih tinggi iaitu di antara lima peratus sehingga 10 peratus. Sistem SST tidak telus kerana penjual tidak memaparkan kadar SST yang dikenakan,” katanya.

Menurutnya, persoalannya adakah langkah penghapusan GST dapat mengurangkan harga barangan? Belanjawan Alternatif menjangkakan penghapusan GST akan menyuntik semula kepada poket rakyat sebanyak RM25.50 bilion.

Tambahnya, jangkaan impak positif akibat penghapusan GST ini sukar untuk berlaku kerana harga barangan di pasaran Malaysia kurang bertindak balas kepada dasar-dasar kerajaan. Antara penyebab kepada situasi ini ialah struktur pasaran ekonomi Malaysia adalah bersifat oligopoli dan monopoli selain kadar pemantauan dan penguatkuasaan yang lemah menyukarkan penilaian dasar dilakukan.

“Kesimpulannya, penghapusan GST tidak menjamin pengurangan kos sara hidup kerana tiada jaminan kepada penurunan harga barangan.

“Wujud kecenderungan situasi cukai ke atas cukai akan berlaku di mana SST dikenakan ke atas barangan yang sudah dikenakan GST.  Adalah lebih baik disarankan untuk menambahbaikkan sistem GST yang sedia ada selain usaha-usaha  untuk meningkatkan kepatuhan firma kepada sistem GST,” katanya.

Kelmarin, Pakatan Harapan berikrar akan menghapuskan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seandainya mereka mentadbir negara selepas PRU14 nanti.

Tindakan itu merupakan antara inti pati pembentangan Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan oleh Harapan di Bangunan Sementara di Parlimen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here