TEKA-teki mengenai penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai skandal urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) akhirnya terjawab apabila laporan mengenainya dibentangkan di Parlimen semalam. Penyerahan laporan setebal 400 halaman itu juga berkebetulan jatuh pada hari terakhir Parlimen bersidang pada tahun ini, sekaligus membayangkan sebarang perbahasan mengenainya, jika pun berlaku, hanya akan mengambil tempat pada tahun hadapan.

Terdahulu, laporan tersebut telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Pesuruhjaya RCI yang terdiri daripada Tan Sri Sidek Mohamad Hassan, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon dan P Kanagarayar pada 13 Oktober lalu.

Penemuan Yang Boleh Dijangka

Laporan lengkap yang dikeluarkan itu secara asasnya meletakkan kesalahan atas bahu bekas penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop selain turut mengaitkan perdana menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung BNM. Nor Yakcop merupakan individu yang bertanggungjawab menguruskan portfolio BNM antara tahun 1986 hingga 1993, termasuklah dalam hal mengenai rizab luar dan peraturan untuk pasaran kewangan dalaman. Skandal yang berlaku sekitar 1990-an itu direkodkan mencatat kerugian sekitar RM31.5 bilion.

Dalam menentukan kebenaran dakwaan mengenai salah laku ini dan mengkaji kesannya terhadap ekonomi negara, RCI itu tidak sekadar menamakan ketiga-tiga individu ini sahaja. Bahkan ia turut mengesyorkan siasatan polis dijalankan terhadap pegawai mahupun kakitangan BNM serta agensi berkaitan yang disyaki terlibat dalam menyembunyikan kerugian forex daripada pengetahuan Kabinet dan Parlimen. Mereka termasuklah ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan sendiri.

Siasatan Dan Tindakan Menyeluruh

Dengan pendedahan ini, maka persoalan mengenai skandal dan salah laku mengenai kerugian besar BNM tampak seakan hampir menemui jawapannya dan isu ini dijangka akan menjadi tumpuan utama dalam perdebatan dan perbincangan dalam pelbagai saluran komunikasi rakyat di seluruh negara. Orang ramai akan menantikan apakah bentuk tindakan yang akan diambil terhadap kesemua individu yang bertanggungjawab yang bukan sahaja menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian tersebut, bahkan mereka pergi lebih jauh dengan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Kabinet, Parlimen dan orang awam sendiri.

Laporan RCI Bermotifkan Politik?

Sementelah RCI tersebut mengaitkan dua orang tokoh besar pembangkang iaitu Mahathir dan Anwar, tindakan kerajaan dalam membentangkan laporan tersebut pada waktu dan saat sebegini, tidak dapat tidak, akan dilihat bermotifkan politik dendam memandangkan kedua-dua individu itu hebat menghentam pimpinan kerajaan sebelum ini terutamanya dalam isu 1MDB. Apatah lagi, pembentangan dan penyerahan laporan tersebut yang dibuat pada hari terakhir Parlimen bersidang walaupun tidak terdapat dalam Aturan Urusan Mesyuarat, dan permintaan ahli parlimen pembangkang untuk membahaskan perkara itu juga hanya akan diputuskan kemudian.

Malah, dalam respon balasnya, peguam Mahathir iaitu Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan pembentangan laporan tersebut sebagai “memalukan” lantaran sifatnya yang berdasarkan khabar angin, dugaan dan andaian yang aras kepercayaannya dikatakan tidak boleh diterima di sisi undang-undang. Haniff bahkan mendakwa prosiding RCI mengenai skandal itu dijalankan dengan menggunakan “undang-undang hutan” dan peraturan “sarkas”.

Kebimbangan Yang Tidak Berasas

Samada laporan RCI itu bersifat politik ataupun tidak, ia bukanlah persoalan dan keutamaannya. Malah, jika individu-individu yang dinamakan tersebut disabitkan kesalahan sekalipun, itu sememangnya harga yang perlu mereka bayar apabila tidak berlaku amanah dalam jalan politik yang mereka sendiri pilih. Tambahan pula, pengaruh politik pakatan pembangkang berkaitan skandal ini dijangka tidak akan sedikit pun tercalar dan tergugat kerana pada hakikatnya isu yang dibicarakan di sini adalah satu perkara besar yang telah berlaku lebih dua dekad lalu. Tentunya golongan muda dan professional sebagai kelompok pengundi terbesar tidak akan membina asas kepercayaan dan kecenderungan politik mereka atas isu seperti ini. Mereka melihat kerugian forex ini sebagai satu isu yang mungkin tidak lagi relevan, apatah lagi mempengaruhi sokongan politik mereka.

Jadi, jika pembangkang merasakan adanya motif politik di sebalik pendedahan laporan RCI ini, mereka tidaklah wajar untuk begitu risaukan pengaruh politik mereka menjelang pilihan raya umum (PRU) kelak. Sesuai dengan slogan dan prinsip ketelusan yang selalu mereka angkat dan perjuangkan, ada baiknya mereka ‘bekerjasama’ dengan menantikan sendiri apakah hasil daripada laporan polis yang telah dibuat mengenai skandal ini. Apa yang penting sekarang adalah menzahirkan kebenaran, dan untuk tujuan tersebut, individu-individu yang bertanggungjawab perlu membuktikan pembelaan sekiranya mereka tidak bersalah. Lagipun, apalah yang hendak dirisaukan sangat? Tokoh dan individu yang terkait itu semuanya orang lama, yang barangkali sudah tidak berapa relevan pun dalam politik negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here