rasisme

TUDUHAN dan label rasis yang terpaksa didepani pemilik dobi ‘mesra Muslim’ di Muar, Johor ternyata membuka mata kita mengenai ketidakupayaan sebahagian rakyat bukan Islam di negara dalam membezakan antara urusan yang berkaitan agama dengan hal lain yang melibatkan kaum. Walhal, setelah lebih 60 tahun merdeka, rakyat pelbagai kaum di Malaysia seharusnya sudah pun mampu memahami dengan baik apakah isu yang menjadi pantang larang ataupun sensitiviti dalam kehidupan pelbagai kaum di Malaysia.

Malang sekali, dalam keadaan kita menyangka bahawa kita sudah bersedia sepenuhnya untuk bergerak menuju ke arah status sebuah negara maju, kita masih lagi merangkak dan tercari-cari mana sebenar perpaduan dalam kehidupan masyarakat pelbagai bangsa di Malaysia.

Isu dobi ‘mesra Muslim’ ini mendatangi spektrum perbincangan masyarakat dengan membawa satu mesej yang tersirat, tetapi jelas: perpaduan kaum yang kita bangga dan megah kita canangkan selama ini hanyalah ‘hangat-hangat tahi ayam’ dan syok sendiri. Ternyata pemahaman masyarakat kita yang masih begitu cetek mengenai kehidupan beragama di Malaysia membuktikan bahawa perjalanan negara ini untuk mencapai makna perpaduan kaum yang sebenar masih lagi jauh.

Rasisme Yang Semakin Menebal

Pengertian rasis itu sendiri perlu dilihat daripada perspektif yang lebih luas dan komprehensif. Dalam konteks kehidupan pelbagai etnik di Malaysia, mereka yang enggan memahami kehidupan kaum dan agama lain di negara ini juga perlu dilihat sebagai rasis. Ketika kerajaan sudah pun menyediakan pelbagai medium untuk rakyat saling memahami kehidupan kaum di Malaysia, keengganan sebahagian pihak untuk berbuat demikian dalam hal ini adalah langsung tidak boleh diterima.

Lebih malang, kelompok ini kebanyakannya adalah golongan profesional dan terpelajar yang sepatutnya lebih matang dalam pemikiran dan tindak tanduk mereka. Maka timbullah persoalan, setelah bermacam-macam program asimilasi dilaksanakan oleh kerajaan di pelbagai peringkat, mengapa terlalu sukar untuk kita lihat perpaduan yang betul-betul asli dalam kalangan rakyat di negara ini?

Sekolah Vernakular Sebagai Penghalang Perpaduan

Kebimbangan ini tentunya berpunca daripada pelbagai faktor. Namun di sana ada satu faktor ‘wajib’ yang berulang-kali disebut sebagai punca kepada kegagalan negara mencapai perpaduan antara kaum. Malah, faktor ini jugalah yang dilihat menyemai benih perkauman atau rasisme di negara ini. Faktor ini tidak lain dan tidak bukan ialah kewujudan sekolah-sekolah vernakular.

Sedih sekali untuk kita lihat bagaimana pemilik dobi ‘mesra Muslim’ dihina dan dicaci maki oleh sebahagian masyarakat bukan Islam yang mempunyai pemahaman yang sangat terhad mengenai kehidupan masyarakat Islam. Setelah melabelkan pengusaha dobi itu sebagai rasis, kelompok masyarakat ini nampaknya pergi lebih jauh dengan menggesa agar Mufti Johor dipecat daripada jawatannya kerana memberikan kenyataan yang seolah-olah menyebelahi pihak pengurusan dobi. Tindakan mereka sebeginilah yang sebenarnya rasis dalam keadaan mereka gagal memahami sensitiviti masyarakat Islam.

Ketika isu dobi ‘mesra Muslim’ ini dilihat terpencil dan mungkin akan hangat hanya untuk beberapa hari lagi, situasi sebaliknya berlaku apabila kita membicarakan soal kewujudan sekolah vernakular. Jika kedai dobi itu diarah untuk ditutup atas polisi yang diamalkannya, maka kita mengatakan sekolah-sekolah vernakular lah yang perlu lebih awal ditutup lantaran bibit-bibit pengasingan dan perpecahan kaum yang dilahirkannya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Umur kemerdekaan negara ini sudah pun melebihi 60 tahun, namun kita melihat begitu ramai rakyat Malaysia yang masih lagi gagal bertutur dalam Bahasa Kebangsaan dengan baik. Bukan itu sahaja, keengganan mereka untuk bercampur dengan masyarakat dari kelompok etnik yang lain juga akhirnya menyebabkan mereka tidak mesra budaya kebangsaan selain sering menunjukkan ketidakpatuhan sivil secara terang-terangan. Kita tidak hanya bercakap mengenai anak-anak muda kerana golongan yang dimaksudkan di sini juga merangkumi kelompok-kelompok profesional yang lain.

Tindakan pantas Sultan Johor dalam menegur dan memberikan amaran kepada pemilik dobi ‘mesra Muslim’ tempohari begitu dipuji. Namun, kita tidak pasti apakah mereka akan menghamburkan pujian yang serupa kepada wawasan negeri Johor untuk menggantikan sekolah vernakular dengan sekolah ‘Bangsa Johor’ pada masa hadapan?

Bulan lalu, Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim secara jelas mempersoalkan samada sekolah vernakular menyumbang kepada perpaduan. Malah, keberkesanan konsep 1Malaysia juga telah dipersoalkan memandangkan di negara ini kita mempunyai sekolah berasaskan kaum yang sememangnya tidak membantu memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.

Masa Tidak Menunggu Kita

Mempertahankan kewujudan sekolah vernakular juga bermakna kita ‘sanggup’ mengajar anak-anak untuk berpecah sejak mereka kecil. Bukan rahsia lagi bahawa sekolah vernakular tidak memberikan pelajarnya pendedahan yang cukup mengenai budaya kaum lain khususnya budaya orang Melayu. Maka usahlah kita hairan dan pelik mengapa perpaduan begitu sukar dipupuk dan dilihat dalam keadaan mereka semakin membesar.

Sentimen ‘perkauman’ yang kita rasakan begitu hebat mengasak kehidupan sejak akhir-akhir ini bukanlah muncul secara tiba-tiba. Sedar atau tidak, ia sudah berakar umbi sejak berdekad yang lalu. Kewujudan sekolah pelbagai aliran berasaskan kaum bukan sahaja membantutkan usaha kita untuk menggapai perpaduan, tetapi lebih membimbangkan apabila ianya terus menjadi faktor yang melahirkan bibit-bibit rasis dan perpecahan sehinggakan kita tidak lagi mengenal budaya dan kehidupan masyarakat yang lain.

Ianya adalah misi mustahil buat Malaysia untuk mempunyai rakyat yang menghormati budaya majoriti dan norma-norma kebangsaan sekiranya kita masih lagi mempertahankan kewujudan sekolah-sekolah vernakular. Jika kita benar-benar serius mengenai penyatuan kaum, usaha ke arah itu perlu bermula dengan pendidikan anak-anak melalui modul dan sistem pendidikan satu aliran.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan jika kita memilih mengekalkan status quo pendidikan yang sedia ada, maka ianya tidaklah jauh berbeza dengan dasar pecah dan perintah penjajah kita suatu masa dahulu. Caranya mungkin tampak seolah berbeza, namun hasilnya tetap sama: perpecahan dan dasar perkauman yang semakin menebal.

1 COMMENT

  1. Perjanjian dibuat ketika hendak Merdeka bahawa sekolah bahasa Ibunda di adakan. Bahasa Ibunda majoriti selain BM adalah Tamil, Hpkkien dan Cantonese. Hakka dll dikira kecil. Maklum ketika itu ramai Hokkien tidak tahu berbahasa Cantonese dan begitu sebaliknya. Jika cantonese nak bertutur dengan org Hokkien mereka akan guna bahasa Melayu. Tetapi entah mana silapnya sekolah untuk kaum Hokkien dan Cantonese menjadi sekolah Mandarin, pada hal yang bahasa Ibunda ialah Mandarin hampir sifir di Malaysia. Jadi kewujudan sekolah Mandarin adalah silap.
    Kem Pelajaran patut rombak sistem sekarang dan buat sekolah satu aliran. Sek Tamil, Cina, Rakyat, Tahfiz di serap dlm sistem kebangsaan. Sekurang kurangnya anak anak Malaysia semua mendapat didikan yang sama dr segi integrasi nasional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here