Ranking pemain No. 1 wanita dunia kini sudah bukan lagi milik ratu skuasy Malaysia, Datuk Nicol Ann David.

Nicol yang memegang kedudukan tersebut sejak Januari 2006 telah dipintas oleh pemain Mesir, Raneem El Weleily.

Berdasarkan ranking terbaharu yang dikeluarkan Persatuan Skuasy Antarabangsa (PSA), Nicol kini mengumpul 2,853 mata manakala Raneem (2,979).

Peningkatan Raneem cukup terserlah sepanjang Jun lalu dan dia telah menjuarai Kejohanan Antarabangsa Alexandria di Mesir selain melangkah ke pusingan suku akhir Terbuka British pada Mei lalu.

Dua kejohanan tersebut telah membolehkannya memungut mata, sekali gus mengubah kedudukannya dalam ranking dunia.

Nicol pula sekadar menjuarai Cleveland Classic tahun ini yang berlangsung di Amerika Syarikat pada Februari lalu.

Pada Terbuka British, Nicol turut terkandas di peringkat suku akhir.

“Saya tak sabar untuk rampas takhta saya semula walaupun situasi ini akan berlaku dengan setiap pemain,” jelas Nicol menerusi laman Twitter peribadinya semalam.

Olahragawati negara itu juga mengakui tidak terkejut dengan perkembangan tersebut memandangkan Raneem sudah mempamerkan persembahan yang mengagumkan dalam empat daripada enam kejohanan besar sepanjang musim ini.

“Saya tidak terkejut langsung malah saya sudah jangkakan perkara ini akan berlaku. Sembilan tahun ini sememangnya menakjubkan bagi saya tetapi saya tidak nafikan Raneem telah menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan sepanjang musim ini.

“Begitupun, ini bukanlah situasi terbaik buat saya, namun ia memberikan saya motivasi baharu untuk merampas semula kedudukan selaku pemain No. 1 dunia,” ujarnya.

Nicol yang memenangi gelaran Cleveland Classic pada Februari lalu berpeluang merampas semula kedudukan tersebut sekiranya anak jati Pulau Pinang itu memenangi Terbuka China yang sedang berlangsung di Shanghai ketika ini.

Tambah Nicol, perkara tersebut ternyata tidak mematahkan semangatnya untuk terus fokus kepada latihan dan memperbaiki kelemahan yang ada pada dirinya.

Dalam perkembangan lain, seorang lagi pemain negara, Low Wee Wern kekal di kedudukan ke-9 sementara Delia Arnold melompat lima anak tangga untuk menempatkan dirinya di kedudukan ke-12.

Sumber: SinarHarian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here