Kerajaan akan memastikan sumber tenaga elektrik di negara mempunyai nisbah yang sesuai antara tenaga bahan api fosil dan tenaga yang boleh diperbaharui bagi memastikan rakyat menikmati kadar tarif elektrik yang rendah.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Zaini Ujang berkata berbanding negara lain, Malaysia mempunyai beberapa sumber tenaga elektrik seperti arang batu, gas asli dan tenaga hidro serta solar.

“Bagi membolehkan tarif yang lebih rendah berbanding negara-negara jiran, kita mempunyai pelbagai sumber tenaga seperti arang batu untuk menampan harga, negara lain tidak melakukannya dan hasilnya mereka membayar mungkin dua kali ganda daripada kita,” katanya pada persidangan media TNB Manjung 5 di sini hari ini.

Pada masa ini, arang batu masih merupakan bahan bakar terbesar yang digunakan dalam penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia, yang menyumbang 52 peratus daripada jumlah bahan api.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dalam ucapannya berkata kerajaan menyasarkan untuk mencapai penjanaan tenaga boleh diperbaharui  sebanyak 50 peratus menjelang 2050 berbanding kira-kira 22 peratus pada masa kini.

Mengenai projek TNB Manjung 5, beliau berkata loji arang batu terbaharu itu telah mula beroperasi tiga hari lebih awal daripada jadual yang ditetapkan pada 1 Oktober.

“Ini sesuatu yang membanggakan kerana projek ini dilaksanakan berdasarkan terma ‘fast track’, yang mana perlu disiapkan dan dimula tugas dalam tempoh 45 bulan berbanding 48 bulan jika tanpa fast track,” katanya.

Beliau berkata ia adalah projek infra rakyat berbentuk penjanaan tenaga bagi memastikan bekalan elektrik stabil dan mencukupi dalam membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara untuk jangka masa panjang dengan menggunakan teknologi terkini iaitu teknologi ‘ultrasupercritical’ (USC).

Katanya USC dianggap piawaian tertinggi dalam aspek kecekapan yang membolehkan lebih banyak tenaga dijana tanpa  menjejaskan piawaian pelepasan asap yang ketat selain membolehkan loji menggunakan arang batu pada kadar yang rendah bagi  pembakaran, sekali gus menurunkan pelepasan asap.

“Projek berkenaan selari dengan objektif kerajaan untuk memastikan permintaan dan keperluan tenaga elektrik yang semakin  meningkat sentiasa dipenuhi, di samping mengekalkan margin rizab tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia pada kadar 25  peratus,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here