Hal berkaitan ketandusan isu dalam kalangan pembangkang sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Kebanyakan isu yang dimainkan hanya berkisar kepada hal-hal sama yang sebenarnya tidak mempunyai kewajaran dan kebenaran nyata. Sejak lebih lima tahun pembangkang hanya mengulang-ulang rentak sama walaupun pihak Kerajaan telah memberikan penjelasan dan menepis segala-gala tuduhan yang dibuat. Kekerapan mengulang rentak sama ini bukanlah satu strategi yang baik kerana lama-kelamaan rakyat sendiri akan bosan dan tidak lagi mahu mendengar.

Ini dibuktikan pada Ahad lalu (8 Oktober 2017) apabila pihak pembangkang melalui Parti Amanah Negara (AMANAH) mengedarkan risalah di sekitar ibu negara berkaitan penganjuran demonstrasi antikleptokrat yang dijadual berlangsung pada 14 Oktober ini. Usaha pembangkang memperbesar isu ini yang bertitik tolak dari isu 1MDB nyata semakin hari yang menimbulkan rasa ragu-ragu rakyat terhadap hal yang dinyatakan. Kempen untuk orang ramai hadir ke demonstrasi ini jelas tidak mendatangkan apa-apa kesan di samping disambut hambar warga kota.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat semasa kempen untuk demonstrasi berkenaan orang ramai dilihat tidak begitu mengendahkan kempen dan risalah yang diedarkan. Malah ada yang langsung tidak mahu menerima risalah itu. Walaupun pihak pembangkang menafsirkan rakyat sebagai takut untuk terlibat secara langsung, namun itu hanya dakwaan kosong yang tidak berasas. Rakyat sebenarnya bukanlah takut, tetapi sudah muak dengan segala demonstrasi tanpa kesan yang dilaksanakan pembangkang.

Trend menurun mengenai sambutan rakyat terhadap demonstrasi yang dianjurkan pembangkang bukan lagi satu perkara baru. Demonstrasi yang paling dibangga-banggakan pembangkang, BERSIH juga dilihat tidak lagi disambut seperti kali pertama diadakan. Bilangan yang hadir kian merosot kerana objektif perhimpunan dan demonstrasi berkenaan tidak jelas di samping membawakan isu-isu yang sebenarnya banyak telah diselesaikan oleh Kerajaan.

Demonstrasi sememangnya diakui sebagai salah satu alat penting untuk rakyat bersuara dan demonstrasi merupakan satu norma semula jadi dalam landskap negara demokrasi. Demonstrasi secara aman harus dibenarkan berasaskan kepada peruntukan-peruntukan perlembagaan sedia ada. Namun begitu, penganjuran demonstrasi oleh pembangkang tidak mengutarakan sebarang isu secara jelas dan tidak berhasil dalam menyelesaikan apa-apa masalah. Malah jika ditanya individu yang hadir ke demonstrasi seperti ini, sebahagian besar daripada mereka tidak memahami matlamat berhimpun.

Demonstrasi sewajarnya dilaksanakan dengan baik melalui senarai tuntutan yang jelas dan benar-benar ditujukan kepada isu-isu spesifik dan bukannya digunakan sebagai alat untuk memperguna rakyat bagi melihatkan kepada umum bahawa parti-parti tertentu mendapat sokongan. Demonstrasi bukanlah alat propaganda politik, tetap alat untuk menyuarakan pandangan berasaskan lunas undang-undang dan perlembagaan.

Pembangkang sebenarnya harus sedar mengenai kebosanan rakyat melihat tindakan demonstrasi yang gagal menangani isu-isu yang dibawa. Tiada objektif jelas merupakan satu perkara yang wajar dikaji semula dan demonstrasi bukanlah pesta semata-mata untuk menunjukkan kekuatan, tetapi perlu menjadi medan penyelesaian masalah. Rakyat sudah bosan dengan demonstrasi dan rakyat cuma mahu memangkah di kertas undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here