PUTRAJAYA – Semua pihak perlu memandang ke hadapan dan memastikan rakyat berbilang kaum bersatu dalam menangani pelbagai cabaran masa kini, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, sentimen dalam negara terutamanya perpaduan rakyat adalah penting dalam memastikan negara mampu bertahan untuk menghadapi sebarang bentuk cabaran selepas ini.

“Kalau rakyat tidak bersatu-padu, ini akan akibatkan keruntuhan dan kemelesetan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas majlis Kembara Kasih Merdeka 2015 di sini Isnin.

Ditanya mengenai laporan yang tersebar meluas di media sosial bahawa sebahagian besar peserta perhimpunan haram Bersih 4 adalah kaum Cina, Liow berkata, tindakan sesetengah pihak yang melabel perhimpunan haram itu sebagai perhimpunan kaum adalah tidak baik untuk negara.

“Ini tidak ada kena mengena dengan kaum. Negara kita rakyatnya berbilang kaum. Sesiapa juga berhak memberikan pandangan tapi perlu berlandaskan undang-undang negara. Kita adalah sebuah negara demokratik,” jelasnya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon sebelum ini dilaporkan menyokong perhimpunan haram tersebut, Menteri Pengangkutan itu berkata, beliau telah memanggil Ketua Pemuda berkenaan dan memberikan nasihat.

Chong juga telah akur dengan pendirian parti, katanya.

Beliau enggan mengulas perkara itu secara meluas di media kerana ia merupakan hal dalaman parti.

Sebelum ini, ada laporan yang mendakwa Ketua Pemuda MCA itu menyokong perhimpunan haram Bersih dan mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan mengambil tindakan kepada anggotanya yang menyertai perhimpunan itu.

Bagaimanapun, Chong menafikan laporan itu.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here