Rakyat jangan hanya tahu mengkritik kerajaan yang mengurus tadbir negara, sebaliknya berlaku adillah terhadap BN yang bertungkus lumus membawa kemajuan kepada negara.

Setiausaha Eksekutif BN, Zaidel Baharuddin berkata demikian selain turut meminta rakyat untuk turut mempersoalkan integriti pihak pembangkang sebagaimana rakyat mengkritik kredibiliti BN.

“Jika kamu persoalkan Bajet yang dibentangkan oleh BN, bangkitkan juga isu berkaitan belanjawan yang dibentangkan oleh pihak sebelah sana.

“Jika kamu tidak suka rasuah yang berlaku dalam penjawat awam kerajaan, kritik juga perasuah dan salah guna kuasa yang mungkin berlaku di dalam pentadbiran negeri,” katanya menerusi slot rancangan ‘The Breakfast Grille’ yang bersiaran ke udara menerusi radio BFM, pagi tadi.

Zaidel dalam masa sama meminta masyarakat khususnya bagi belia segera mendaftar sebagai pengundi sebelum pilihan raya akan datang.

“Jangan hanya suarakan rasa tidak puas hati tentang itu dan ini, namun tidak mahu menjadi sebahagian daripada proses demokrasi negara.

“Saya pun sama seperti anda semua, saya berkhidmat dalam sektor swasta, saya bukan datang daripada keluarga berlatar belakangkan politik, saya juga ada rasa tidak puas hati terhadap pihak lain,” katanya lagi.

Beliau juga sentiasa mengalu-alukan kritikan daripada mana-mana pihak yang boleh memperbaiki kelemahan BN pada masa akan datang.

“Saya tidak ada masalah sekiranya ada mana-mana pihak mahu mengkritik kami.

“Jika kamu mahu mengkritik sesuatu isu, saya mengalu-alukannya, namun sebelum itu, kamu perlu buat dua perkara di atas (yang dinyatakan) sebelum mengkritik kami,” ujarnya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here