Watak Antagonis yang sering dilakonkan oleh Raja IIya naikkan namanya sebaris dengan nama pelakon-pelakon popular.

 

Meskipun perlu melakonkan karakter yang dibenci peminat dan penonton namun bagi wanita berdarah kacukan Melayu, Malayalam, Arab dan Pakistan ini, dia tidak kisah jika watak berkenaan telah meletakkan namanya sebaris dengan pelakon wanita popular lain dalam industri seni tempatan.
Akuinya, ia juga merupakan identiti atau pengenalan yang berbeza baginya berbanding aktres sedia ada.
Pernah mencipta nama menerusi filem Tamil, Appalam, empunya nama Raja Ramilah Begum Raja Mohamad ini berkata, dia juga bersyukur kerana paras rupa yang dimilikinya memberikan dia satu kelebihan apabila sering ditawarkan untuk berlakon menerusi karya-karya Tamil dan Hindu.
“Alhamdulillah, tahun ini juga saya bakal beraksi di layar perak menerusi sebuah filem Hindu.
“Menariknya, filem tersebut bakal menggandingkan saya dengan beberapa bintang terkenal Bollywood seperti Kajol,” katanya kepada Zass.
Berkongsi lanjut mengapa dia dipilih membintangi filem berkenaan, ia adalah kerana pihak produksi mahukan seorang pelakon Malaysia yang mempunyai wajah persis pelakon Hindustan.

“Mungkin rezeki saya untuk berlakon filem luar negara lebih cerah berbanding di negara sendiri.
“Bagaimanapun, daripada sisi drama, saya akui tawaran sangat mencurah-curah kini,” jelasnya yang sedang popular sebagai Cik Alin menerusi drama bersiri Syurga Nur.
Lebih dikenali sebagai Raja Ilya, akuinya, menerusi filem Bollywood itu, dia diperlukan menjadi seorang gadis Hindu.
“Walaupun saya diperlukan menjadi gadis bukan Islam tetapi ia bukan masalah besar kerana tidak melanggar batas-batas agama.
“Lagipun setiap skrip yang diberikan oleh pelakon juga akan ditapis terlebih dahulu supaya ia tidak bertentangan dengan syariat Islam,” katanya produksi memintanya berlakon sebagai satu faktor mendapatkan pasaran di negara ini.
Dalam pada itu, ujar pelakon yang diangkat Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Filem Malaysia Tamil 2011 di Chennai, India, menerusi filem Appalam ini, dia berharap perkara berkenaan tidak menjadi halangan kepadanya untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa.
“Ia sekadar watak dan peranan sahaja, rasanya ia tidak akan menjadi persoalan kepada peminat-peminat saya,” katanya menganggap tawaran berkenaan sebagai satu cabaran sebagai anak seni.

 

 
Terus dibenci

Umum mengetahui pelakon berusia 29 tahun ini sinonim dengan watak antagonis.
Dek kerana itu menerusi drama bersiri Syurga Nur, dia terus dibenci peminat dan penonton setia drama itu.
Mengakui tidak terganggu emosi kerana dibenci penonton, kata Raja Ilya, dia sebaliknya berbangga kerana mampu menjayakan watak tersebut dengan baik.
“Biasanya saya hanya melihat respons mereka menerusi laman sosial. Memang ramai yang komen terkesan dengan lakonan saya.
“Tetapi baru-baru ini ketika saya terlibat dengan promosi jelajah drama Sangat di Utara, mereka sendiri menunjukkan respons secara langsung.
“Bayangkan bila saya tanya siapa yang benci Che Alin, semuanya menjerit memberitahu mereka tidak menyukai watak tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Seludup ini juga boleh dikatakan semakin meriah wajahnya di layar skrin.
Bercerita mengenai perkara itu, jelasnya, mungkin rezekinya sedang menjadi kini.
“Alhamdulillah, setakat ini memang tawaran yang diterima agak padat. Malah saya gembira kerana banyak pihak produksi yang memerlukan khidmat saya sebagai pelakon.
“Saya sendiri tidak terlalu memilih tawaran yang diterima selagi ia kena dengan jiwa saya,” katanya hanya 10% tawaran yang diberi kurang sesuai dengan dirinya.
Ditanya apakah dia akan ‘demand’ selepas ini kerana namanya semakin hit, kata Raja Ilya, dia bukan jenis begitu lebih-lebih lagi industri seni adalah tempatnya mencari makan.
“Saya tahu di mana kedudukan dan level saya. Tidak mungkin saya akan meletakkan harga tinggi seperti pelakon wanita terkenal lain jika saya masih belum mencapai tahap seperti mereka.
“Lagipun setakat ini, harga yang diberikan kepada saya amat berbaloi,” kata pelakon kelahiran Ipoh, Perak ini.
Selain itu, Raja Ilya baru sahaja menemui penonton menerusi drama bersiri Iris Damia di slot Ratu TV9 yang disiarkan sejak 10 Julai lalu dan muncul menerusi program Awak Kat Mana di saluran Astro Ria.

 

Sumber: Sinar Harian

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here