Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan keputusan Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini untuk secara rasmi menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sebagai “tragedi dan memalukan”.

“Akhirnya HARAPAN memilih seseorang yang pernah digelar mereka sebagai individu paling korup di Malaysia sebagai (calon) perdana menteri. Betapa memalukan.

“Pengumuman Mahathir sebagai (calon) perdana menteri bertentangan dengan agenda reformasi mereka sendiri. Ia adalah tragedi untuk perjuangan mereka,” katanya menerusi Twitter sebentar tadi.

Abdul Rahman memperlekehkan agenda perubahan yang diumumkan HARAPAN bersekali dengan penamaan Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka.

“Hakikatnya Mahathir tidak akan melaksanakan pembaharuan (yang diumumkan). Beliau sudah dibuktikan sebagai pakar tipu daya dan pembaharu yang tidak berguna.

“Kelakar apabila HARAPAN melantik Mahathir sebagai bakal perdana menteri dan berharap beliau akan melaksanakannya,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN mempersoalkan sama ada HARAPAN telah melupakan idealisme mereka demi merebut kuasa.

“Paling utama, Mahathir tidak sinonim dengan inisiatif pembaharuan yang juga diumumkan HARAPAN hari ini. Strategi yang buruk,” katanya.

Akhirnya, katanya lagi, pengumuman HARAPAN hari ini hanya memberi kelebihan kepada BN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here