Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli melahirkan rasa leganya selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan kerana bersalah mendedahkan penyata akaun bank National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan dua yang lain kepada media.

“Bunyinya pelik, tetapi saya bersyukur dan lega diberi penjara 2 tahun setengah,” katanya.

Menurutnya, sekiranya cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali untuk mengenakan denda RM500,000 dan penjara ke atasnya dibenarkan mahkamah, beliau terpaksa meringkuk di penjara serta merta.

“Ini kerana saya tidak mempunyai wang. Yang ada hanya RM20,000 sahaja,” katanya.

Selain itu katanya, sekiranya dipenjara semalam, beliau tidak dapat lagi meneruskan kempen partinya.

“Saya tahu saya tidak lagi layak bertanding, namun sehingga rayuan didengar di mahkamah lebih tinggi, ada masa untuk saya berkempen untuk parti. Saya berkempen hampir 40 parlimen setiap bulan,” katanya.

Naib Presiden PKR itu bagaimanapun optimis permohonan rayuannya di Mahkamah Tinggi akan memihak kepadanya.

“Berdasarkan pengalaman kami, kes ini sangat kuat dan saya yakin ianya tiada masalah (untuk mahkamah menerima rayuannya), ” katanya ketika ditemui selepas keputusan kes Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan.-SN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here