SEJAK ditubuhkan, isu pergolakan dalaman bukanlah asing dengan PKR.

Rakyat boleh dikatakan berterusan disajikan dengan episod perbalahan sesama sendiri dalam kalangan barisan kepimpinan tertinggi parti itu membabitkan isu-isu tertentu.

Perkembangan terkini parti itu tidak banyak bezanya apabila pergolakan terus berlaku selepas wujud dua kem berbeza dalam kepemimpinannya.

Dua kem berkenaan adalah yang menyokong atau menentang kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Episod baharu pergolakan itu membuka tirainya selepas Menteri Besar Selangor, yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui wujud rundingan kerjasama dengan PAS.

Perkara itu telah menimbulkan suasana tidak senang duduk dalam kalangan pemimpin PKR yang menentang idea itu.

Pada 23 Ogos lalu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen mengumumkan peletakan jawatan­nya sebagai ahli Biro Politik PKR berikutan tidak puas hati dengan kepemimpinan parti itu meneruskan perbincangan kerjasama dengan PAS.

Melihat kepada risiko yang bakal timbul sekiranya parti itu terus bergolak menjelang PRU-14, Naib Presidennya, Rafizi Ramli lantas melontarkan idea supaya diadakan kongres khas kononnya bertujuan memutuskan sama ada perlu berunding dengan PAS.

Rafizi pada masa sama turut mengakui bahawa dua kumpulan yang berbeza pendapat itu telah wujud sejak 2015 lagi sehingga mengelirukan akar umbi.

Idea Rafizi itu disokong oleh sekumpulan pemimpin akar umbi PKR yang mahukan isu kerjasama dengan PAS sehingga menimbulkan situasi tegang dalam kalang­an pemimpin parti diselesaikan segera.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Dr. Afif Bahardin tampil membidas idea Ahli Parlimen Pandan berkenaan.

Afif menegaskan, Rafizi sewajarnya mencadangkan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution supaya segera mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang kali terakhir berlangsung pada Mac lalu.

Bukan itu sahaja, beliau turut mengecam dakwaan Rafizi bahawa rundingan dengan PAS adalah keputusan Mohamed Azmin ke­rana hakikatnya perkara itu merupakan keputusan mesyuarat Biro Politik parti, yang sudah lama tidak dihadiri oleh Rafizi sendiri.

Siapa yang tidak kenal dengan Rafizi?

Seorang ahli politik yang banyak kali memburukkan namanya sendiri dengan pelbagai tuduhan yang tidak benar dan berbau fitnah melampau.

Yang sentiasa diingati rakyat ialah kenyataannya tentang kekayaan melampau anak-anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hingga mampu membeli kilang arak dan syarikat minyak PETRON.

Kini Rafizi menyerang Azmin dan tindakan Menteri Besar Selangor itu mengadakan perbincangan dengan PAS.

Kenapa Rafizi kini boleh diibaratkan seperti cacing kepanasan?

Ini kerana dikhabarkan Azmin berunding menerusi jalan belakang untuk memberi kerusi Gombak kepada PAS.

Kenapa perkara ini dilakukan Azmin?

Semua ini Azmin lakukan demi menyelamatkan tengkuknya untuk terus menjadi Menteri Besar di Selangor dengan sokongan PAS.

Azmin menggunakan Iskandar Samad, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Chempaka untuk menyusun tempat baginya di Parlimen Pandan.

Azmin mahu lompat ke Pandan untuk bertanding bagi menggantikan Rafizi yang mungkin hilang kelayakan bertanding jika masuk penjara.

Adakah perkara ini membuatkan Rafizi menjadi panas lalu mengeluarkan kenyataan mengecam sikap Azmin yang terus bermain kayu tiga dengan PAS?

Timbul juga persoalan, apakah tujuan sebenar Rafizi mahu mengeruhkan lagi perhubungan di antara PKR dan PAS yang sudah pun keruh?

Apakah Rafizi mahu menimbulkan sentimen marah dan tidak puas hati PAS terhadap parti PKR?

Rakyat serta Rafizi pastinya mengetahui Azmin memerlukan sokongan PAS untuk memastikan pembangkang terus berkuasa di negeri Selangor.

Ia sekali gus dapat memastikan Azmin untuk terus kekal berkuasa sebagai Menteri Besar di negeri berkenaan.

Atas sebab itu, Rafizi ingin memastikan PAS tidak akan memberikan kerjasama kepada PKR pada PRU-14.

Jadi Rafizi membuat kenyataan media mengenai wujudnya puak-puak yang tidak sehaluan dalam PKR,.

Apakah Rafizi berniat untuk menjatuhkan Azmin di Selangor?

Episod pergolakan dalam PKR merupakan bukti bahawa parti berkenaan sedang berhadapan dengan krisis kepemimpinan yang serius.

Walau apa juga keputusan dicapai berhubung rundingan kerjasama dengan PAS, kerosakan dalaman pada peringkat tertinggi parti telah pun berlaku apabila wujudnya dua kem berbeza yang menyokong serta tidak menyokong rundingan dengan PAS.

Perkara ini bukan dinyatakan oleh pihak yang menentang PKR tetapi oleh Naib Presiden parti itu sendiri.

Jadi, adakah parti itu ikhlas atau tidak untuk bekerjasama dengan PAS?

Jika dilihat kepada situasi yang berlaku, kerjasama itu lebih kepada tujuan politik dan kepentingan peribadi semata-mata.

Apa yang nyata, PRU semakin hampir dan PKR juga sedang menggali kubur untuk diri mereka sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here