Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkeras untuk tidak memohon maaf mahupun menarik balik tuduhannya bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan mengamalkan nepotisme dalam pemberian kontrak kerajaan.

Ahli Parlimen Pandan itu bagaimana pun mengesahkan beliau telah menerima surat tuntutan Abdul Rahman dan akan menjawab surat itu.

“Saya belum masuk ke pusat khidmat lagi tapi saya dah dimaklumkan surat itu ada. Saya akan jawab surat itu dan kemudian kalau dia hendak saman, dia samanlah.

“Saya takkan tarik balik dan akan jawab surat itu ikut proses undang-undang biasa. Saya takkan bagi alasan tak boleh jumpa Rahman Dahlan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Surat tuntutan itu ekoran kesilapan Rafizi dalam menamakan individu terlibat dengan penganjuran Ekspo Negaraku yang melibatkan dana berjumlah RM37 juta melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Rafizi dalam kenyataan pada 11 Disember lalu mendakwa, syarikat yang dilantik tanpa tender terbuka untuk menganjurkan acara tersebut dikuasai individu bernama Raslan Dahlan yang didakwanya abang kepada Rahman Dahlan.

Dakwaan itu ternyata tidak benar dan pada pertengahan bulan lalu, Rafizi memohon maaf kepada Raslan, yang merupakan ketua pegawai eksekutif PICO Itegrated Exhibit Sdn Bhd.

Rafizi semalam turut mengalu-alukan saman dari Abdul Rahman untuk membolehkannya terus mempersoalkan mengenai kewajaran kerajaan membelanjakan dana RM37 juta untuk penganjuran ekspo berkenaan melalui EPU yang diketuai Abdul Rahman.

“Sehingga sekarang beliau belum menjawab kenapa Unit Perancang Ekonomi di bawah pimpinan beliau membelanjakan sehingga RM37 juta dalam keadaan Kerajaan Persekutuan mengutip cukai GST, mengejar orang perseorangan dan syarikat untuk mengutip cukai pendapatan dari tahun-tahun yang lalu dan harga barang terus kekal mahal,” kata Rafizi.

Selain itu, ia turut bertujuan untuk mengasak menteri tersebut supaya turut menyaman pihak yang membangkitkan isu mengenai mutu khidmat Ahli Parlimen itu di kawasan Kota Belud.

“Saya telah menyatakan kesediaan saya berjumpa beliau di mahkamah dan meminta beliau menyaman juga kenyataan pimpinan PH (Pakatan Harapan) Sabah yang mendakwa beliau tidak melawat kawasan parlimen Kota Belud yang diwakilinya yang dilanda banjir ketika itu.

Abdul Rahman dilaporkan akan menunggu tempoh tuntutan selama tujuh hari itu luput sebelum meneruskan tindakan saman ke atas Rafizi.

Laporan Malaysiakini menyebut, surat tuntutan pertama dikeluarkan melalui Tetuan Raja Riza & Associates pada 5 Jan lalu melalui kiriman pos berdaftar dan serahan tangan dibuat pada hari sama.

Artikel berkaitan: Rafizi Cabar Rahman Saman

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here