Pusingan

Pusingan U oleh Dr Mahathir Mohamad yang terbaru dan sokongannya untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri bukan seperti apa yang kita disangka. Ia berlaku selepas 20 tahun di mana Dr Mahathir menjatuhkan Anwar dan menggunakan segala cara yang ada untuk menghapuskan beliau dari politik negara termasuk menangkapnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang sekarang telah dimansuhkan, mendakwa dan memenjarakannya dan menjalankan kempen yang berterusan untuk menyerang perwatakannya.

Sebenarnya, Dr Mahathir tahu, dari segi perundangan Anwar tidak boleh bertanding maka pusingan U kali ini bukanlah berkaitan pilihan raya umum akan datang. Hakikatnya, sokongan terbaru Dr Mahathir terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri didorong oleh kebimbangan mendalam beliau terhadap keputusan Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian forex berjumlah RM30 bilion oleh Bank Negara semasa beliau menjadi Perdana Menteri sebagaimana dinyatakan dalam laporan Pasukan Petugas Khas.

Dr Mahathir sedar bahawa hasil laporan RCI boleh membawa kepada pendakwaan jenayah, maka beliau tidak boleh mempunyai individu yang sangat relevan kepada kes ini seperti Anwar memberi keterangan terhadap beliau. Adalah ironik bahawa Dr Mahathir kini memerlukan Anwar, yang dulu dia pecat dan penjarakannya. Sama juga seperti dia kini memerlukan Lim Kit Siang, seorang lagi yang dipenjarakannya, kerana pada hakikatnya Lim Kit Siang mengetuai pihak pembangkang memandangkan DAP mempunyai majoriti dalam Parlimen – sedangkan parti Dr Mahathir hanya mempunyai satu kerusi.

Perjuangan Dr Mahathir ini didorong oleh kepentingan peribadi dan bukannya kepentingan nasional. Dia obses untuk menyelamatkan legasi keluarganya dan menjadikan anaknya Mukhriz sebagai Perdana Menteri.

Dia tidak mempunyai prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja – termasuk bersekutu dengan mereka yang dia pernah penjarakan, meminta campur tangan orang asing dalam proses demokrasi negara kita, mensabotaj ekonomi kita, dan jika perlu, membuat 100 pusingan U untuk memanipulasi minda rakyat – sebagai satu cara untuk mencapai hasrat yang dikehendakinya. Anwar mungkin terpedaya dengan helah ini, tetapi saya percaya kita semua tidak akan. Ini adalah kerana dengan hanya satu kerusi Parlimen, Pengerusi Pribumi ini tidak akan dapat memutuskan siapa yang menjadi Perdana Menteri. Ia akan menjadi satu perkara yang sangat tidak demokratik jika ini berlaku.

Dulu Dr Mahathir telah menuntut Tun Abdullah Badawi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, sekarang dia menuntut peletakan jawatan saya pula, dan pasti akan juga menuntut pengganti saya meletakkan jawatan sehingga akhirnya anaknya menjadi Perdana Menteri tanpa mengambil kira kesannya kepada negara. Kita tidak akan membiarkan dia berjaya kali ini kerana proses demokrasi mesti diguna pakai dan kepentingan negara mesti didahulukan sebelum kepentingan keluarga Dr Mahathir.

Tiada yang lebih penting daripada keperluan rakyat. Oleh itu, kerajaan di bawah kepimpinan saya akan terus menumpukan perhatian kepada kebajikan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keselamatan semua rakyat Malaysia. Kerajaan akan terus mengotakan janji-janji dan kepentingan rakyat akan sentiasa didahulukan.

YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here