SERATA dunia tidak terkecuali Malaysia kini sedang menghadapi ancaman yang datang daripada kumpulan pengganas terutamanya militan Daesh.

Daesh telah melakukan banyak serangan keganasan terhadap penduduk awam sehingga mengorbankan banyak nyawa serta membawa kecederaan terhadap ramai mangsa yang terlibat yang terdiri daripada kaum wanita, warga tua, serta kanak-kanak.

Banyak siri keganasan dilakukan oleh kumpulan ini seperti tragedi serangan maut terhadap berpuluh-puluh mangsa di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki, diikuti dengan peristiwa tebusan di Dhaka, Bangladesh serta serangan bom di Baghdad, Iraq yang telah membunuh dan mencederakan ratusan orang ramai serta serangan terhadap beberapa buah bandar di Arab Saudi termasuk di kawasan suci yang berhampiran dengan Masjid Al-Nabawi.

Malaysia juga menerima tempias daripada kegiatan keganasan oleh kumpulan militan terbabit apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa serangan bom tangan yang berlaku terhadap sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor pada Jun 2016 didalangi Daesh.

Serangan itu dipercayai dilakukan atas arahan ahli Daesh warga Malaysia yang kini berada di Syria.

Serangan yang dilakukan bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam malah turut menyasarkan mangsa di negara-negara Barat seperti ­Perancis, Belgium serta Amerika Syarikat.

Insiden itu yang tidak mengakibatkan sebarang kematian hanya kecederaan, dan pihak berkuasa negara ini telah menahan kira-kira 270 orang yang menyokong fahaman Daesh dan mereka terbabit tidak lagi menjadi satu ancaman.

Malaysia mengambil pendirian amat tegas terhadap ekstremisme dan keganasan selain enggan berkompromi atau bertolak ansur dalam perkara itu.

Beberapa langkah telah diambil termasuk menguatkuasakan undang-undang baharu yang spesifik khusus untuk mengendalikan isu ekstremisme dan keganasan, mengupayakan pasukan keselamatan bagi membolehkan mereka menahan pihak yang mempunyai elemen ekstremis dan membawa mereka ke muka pengadilan malah sebelum mereka melakukan perbuatan keganasan.

Malaysia juga turut bekerjasama rapat dengan negara-negara lain dalam memerangi keganasan.

Adakah usaha Malaysia memerangi keganasan tidak membuahkan hasil?

Kedudukan Malaysia yang baik dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2017 adalah bukti komitmen dan kesungguhan Malaysia memastikan negara ini berada dalam keadaan selamat dan aman.

Data GPI meletakkan Malaysia di tangga ke-29 negara teraman di dunia daripada 163 buah negara dan kedudukan itu jauh lebih baik berbanding negara kuasa besar seperti United Kingdom yang berada di tangga 41, Amerika Syarikat (114), China (116) dan Rusia (151).

Kedudukan Malaysia itu juga lebih baik daripada negara anggota ASEAN lain termasuk Laos yang berada di tangga 48, Indonesia (52), Vietnam (59), Kemboja (89), Myanmar (104), Thailand (120) dan Filipina (138).

Dengan data itu, adakah ia memerlihatkan Malaysia bukan negara aman seperti didakwa pembangkang?

Sesungguhnya keamanan yang dikecapi sehingga kini tidak diperoleh dengan begitu sahaja sebaliknya merupakan hasil pengorbanan pasukan keselamatan negara yang sentiasa bersiap-siaga menghadapi ancaman keganasan.

Usa­ha pasukan keselamatan yang sentiasa mencegah dengan lebih awal kegiatan keganasan merupakan faktor yang menjamin keamanan negara.

Di atas komitmen Malaysia itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung peranan signifikan beliau dalam memerangi keganasan.

Pujian itu dizahirkan oleh Trump yang kini menerima kunjungan Najib atas jemputan Presiden Amerika Syarikat itu.

Trump memaklumkan, Najib telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kumpulan-kumpulan keganasan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.

Perdana Menteri telah memainkan peranan besar untuk tidak membenarkan Daesh, dan lain-lain ancaman keganasan untuk bertapak di negara ini.

Adakah pujian itu sengaja dibuat oleh Trump kepada Perdana Menteri?

Sebagai kuasa besar dunia, sudah tentu Trump dan Amerika Syarikat melihat peranan dan kesungguhan komitmen Malaysia dalam memerangi keganasan serantau.

Isu ancaman Daesh misalnya, bukan sahaja dihadapi di Malaysia malah turut mengancam Amerika Syarikat.

Keganasan merupakan masalah sejagat yang serius dan mampu mengancam kestabilan dan keselamatan negara serta keamanan antarabangsa.

Malaysia mengecam semua tindakan, kaedah dan amalan keganasan.

Berhubung peranan Amerika Syarikat dalam menentang keganasan, Amerika Syarikat telah menunjukkan usaha berterusan dari segi perkongsian kepakaran, sumbangan kewangan dan pembangunan modal insan.

Usaha Amerika Syarikat harus dipuji dengan penganjuran Gabungan Anti-IS Global (Global Coalition) yang ditubuhkan pada September 2014, dengan 69 keanggotaan termasuk Malaysia.

Amerika Syarikat turut bersama-sama menyumbang kepada penubuhan Bahagian Komunikasi Strategik Digital di Malaysia bagi menangani penyebaran mesej negatif keganasan.

Seperti Malaysia, Amerika Syarikat di bawah pimpinan Trump juga menunjukkan komitmen untuk menghapuskan kumpulan militan Daesh.

Seperti mana negara-negara lain, Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai tanggungjawab bersama untuk menentang dan mengekang keganasan global termasuklah memainkan peranan masing-masing di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tanggungjawab membanteras keganasan bukanlah hanya perlu digalas oleh Malaysia, bahkan ia melibatkan semua negara memandangkan serangan keganasan memberi kesan besar terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Memerangi keganasan memerlukan komitmen penuh dan kerjasama erat daripada semua pihak.

Tindakan tegas dan pantas dari segi ketenteraan dan penguatkuasaan undang-undang adalah suatu bentuk pendekatan yang perlu dilakukan.

Komitmen ini pasti akan dilakukan oleh Malaysia dan Amerika Syarikat.

Jangan dilayan hasutan pembangkang yang sengaja mahu melihat keamanan negara dan kerjasama Malaysia dengan kuasa besar dunia selama ini menjadi usaha yang sia-sia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here