Pemuda PAS beranggapan pujian Najib terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pujian ikhlas.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau dapat merasakan keikhlasan Datuk Seri Najib Razak yang memuji Abdul Hadi sebagai pembangkang yang baik.

“Saya kira Najib juga boleh menjadi seorang pembangkang yang baik jika diberikan peluang,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Najib dalam perutusan tahun baru menyelar kelakuan pihak pembangkang dan membandingkan dengan Abdul Hadi yang disifatkan sebagai ‘cara yang lebih baik’.

Menurut Ahmad Fadhli, dakwaan sesetengah pihak bahawa pujian Najib itu bermaksud PAS akan menyokong UMNO sangat-sangatlah tersasar.

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat itu turut membandingkan beberapa pujian melibatkan pemimpin Pakatan Harapan dan BN.

Antaranya pujian Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dikatakan berjaya menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan.

Selain itu, pujian bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Najib dalam isu konflik di Gaza dan isu MH17 turut dibangkitkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here