Hanya dua peminjam daripada 2.8 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diisytiharkan muflis oleh institusi itu sejak penubuhannya pada 1997, kata Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Perisytiharan muflis terpaksa dibuat setelah peminjam tidak dapat mematuhi keputusan mahkamah yang telah ditetapkan,” kata Shamsul Anuar, yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO.

Beliau berkata fakta itu sendirinya menangkis dakwaan sesetengah pihak terutamanya pembangkang yang menuduh PTPTN sebagai institusi yang zalim kerana kononnya sering memufliskan peminjamnya.

“Berbanding dengan institusi kewangan lain yang memberi pinjaman pelajaran, PTPTN adalah institusi yang paling fleksibel, paling longgar dan paling ringan untuk berunding,” katanya di Pejabat Biro Kebajikan UMNO di Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai peminjam PTPTN yang disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), beliau berkata ia adalah polisi biasa yang diamalkan mana-mana institusi kewangan di negara ini.

Hairan dengan suara-suara sumbang dan kurang berpuas hati apabila PTPTN mengambil tindakan tersebut walaupun ia turut dilakukan institusi lain, Shamsul Anuar berkata : “Mereka (pembangkang) melihat isu PTPTN adalah topik utama dalam kalangan rakyat dan mereka mahu menggunakan isu ini untuk menarik perhatian generasi muda yang merupakan majoriti peminjam kita.”

“Cara dan trend pembangkang melihat PTPTN ketika ini sedikit berubah, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli menggunakan PTPTN untuk menyerang kerajaan, kononnya kalau mereka menang maka PTPTN akan dimansuhkan, namun sekarang dia pula mahu PTPTN kekal namun perlu ubah beberapa dasar,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai isu sekatan imigresen, Shamsul Anuar berkata perkara itu bukanlah baharu malah ia selaras dengan Seksyen 22A, Akta PTPTN 1997 (Akta 566) yang membenarkan PTPTN menyenarai hitam peminjam.

Bagaimanapun, katanya, hanya 17 peratus atau 479,067 peminjam disenarai hitam daripada membuat perjalanan ke luar negara sehingga kini.

“PTPTN berpandangan mereka yang ke luar negara adalah mereka yang mampu membuat bayaran balik. Buktinya sejumlah RM1.54 bilion dikutip PTPTN daripada mereka yang membuat bayaran balik selepas nama mereka disenarai hitam, ” katanya dan menambah jumlah itu mampu menampung 64,000 pelajar sehingga mereka tamat pengajian.

– Bernama

SHARE
Previous articlePRU14 Tidak Jauh Lagi
Next articleAnnuar Musa ‘Dedah Rahsia’
Writing is an expression. We must not fear of being wrong. I am who i am. I am speak my mind. Writing is my world. Explore.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here