Parti Sosialis Malaysia (PSM) sedia menerima calon luar untuk bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tetapi ada 3 syarat yang perlu dipatuhi mereka.

“Syarat-syaratnya ialah calon kita mestilah mengisytiharkan harta mereka, tidak main politik kotor, membuka pusat khidmat rakyat di kawasan bertanding.

“Kita sentiasa terbuka dan terima jika mereka ada ciri-ciri itu. Kita tidak akan buka kepada calon yang tidak mempunyai ciri-ciri itu sebab kita mahu bantu rakyat,” kata Ahli Jawatankuasa Kuasa Pusat PSM, S Arutchelvan pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.

Katanya, PSM turut mengalu-alukan aktivis bertanding di bawah tiket parti itu.

PSM sebelum ini menggesa Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan mereka bertanding PRU14 menggunakan logo sendiri dan memahami keputusan mereka menggunakan logo parti lain pada PRU lalu.

Beliau berkata, PSM terpaksa “meminjam” logo parti lain pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008 kerana kerajaan tidak meluluskan pendaftaran mereka.

Sementara itu, Arutchelvan berkata, PSM akan bertanding 17 kerusi di seluruh negara pada PRU14.

Katanya, 17 kerusi itu terdiri daripada 5 kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Lima kerusi Parlimen ialah Cameron Highlands (Suresh Kumar), Subang (A Sivarajan), Batu Gajah, Hulu Langat (S Arutchelvan) dan Sungai Siput (Dr Michael Jeyakumar Devaraj).

“Manakala 12 kerusi DUN itu adalah Jelapang (M Saraswati), Semenyih (Nik Aziz Afiq), Bukit Lanjan (V Selvam), Jelai (Mohd Nor Ayat), Pelabuhan Klang, Tronoh (Chin Kwai Heng), Buntong (R Mohanarani), Seri Muda (Abdul Razak Ismail), Kota Lama (Khairul Nizam), Menglembu (Chin Kwai Leong), Kota Damansara (Nasir Hashim) dan Malim Nawar (K Bawani),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here