Parti Sosialis Malaysia (PSM) enggan lagi bertanding menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 seperti yang lazim dilakukannya pada dua PRU lalu.

Timbalan Pengerusinya, M Sarasvathy, berkata PSM yang akan bertanding di lima kawasan Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara akan menggunakan manifesto sendiri untuk semua calonnya.

“Kali ini kami akan menggunakan lambang PSM, ini yang kita putuskan, tiada lagi isu untuk kembali menggunakan lambang PKR (seperti dua PRU lalu).

“Pada PRU lalu, ramai ahli kita yang keliru apabila (calon PSM) bertanding guna tiket PKR.

“Di Parlimen pun, wakil rakyat kita tidak guna lambang PKR, tetapi PSM, jadi adalah lebih wajar kali ini bertanding guna lambang sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, dalam sebuah akhbar hari ini, yang mahu mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU Ke-14 menggunakan lambang PSM, dan bukan PKR seperti dilakukan pada PRU Ke-12 dan Ke-13.

Sarasvathy percaya pengundi di Sungai Siput akan terus mengundi Dr Jeyakumar kerana keperibadiannya jika PKR turut meletakkan calonnya di kerusi berkenaan sehingga mewujudkan pertembungan tiga penjuru, selain calon BN.

Beliau turut menafikan keengganan parti itu untuk menggunakan lambang PKR dan bertanding bersendirian akan mengakibatkan perpecahan undi pembangkang.

“Kami hanya bertanding di tiga peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen seluruh negara, bagaimana kami boleh mewujudkan pertandingan tiga atau pelbagai penjuru.

“Sebaliknya PAS dan Gagasan Sejahtera (yang dijangka bertanding banyak kerusi) akan mengakibatkan berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih,” katanya.

Katanya, PSM sentiasa sedia berbincang dengan pakatan pembangkang, malah turut menghantar surat meminta diadakan perbincangan tetapi sehingga kini pintu perundingan masih belum terbuka untuk parti berkenaan.

Beliau berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pakatan pembangkang dalam tempoh terdekat dan bukannya selepas Parlimen dibubarkan seperti yang berlaku pada dua PRU lalu.

“Jangan ajak bincang saat-saat terakhir, kita mahu kali ini bincang lebih awal. Jangan ajak bincang selepas Parlimen dibubarkan, ia akan mewujudkan lebih banyak masalah dalam kalangan parti pembangkang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here