SEJAK PRU12 pada 2008 yang lalu, banyak yang diperkatakan mengenai talian hayat BN yang didakwa hanya bergantung kepada sokongan besar orang Melayu selain mengharapkan undi minoriti kumpulan etnik yang lain khususnya kaum Cina.

Inilah salah satu bentuk perang saraf yang dimainkan pembangkang sebelum ini bagi menggambarkan seolah-olah undi bukan Melayu khususnya kaum Cina sudah selamat bersama mereka, maka perjuangan mereka kini hanyalah mengenai merebut undi Melayu daripada BN dan UMNO. Persoalannya, benarkah dakwaan dan persepsi sebegitu?

n_6tan

Jika dibandingkan dengan PRU13 yang lepas, keyakinan BN dalam merebut kembali undi orang Cina kembali memuncak pada ketika ini. Ketika ramai masih mempersoalkan kebersamaan pengundi Cina khususnya orang muda dengan BN, tidak dapat dinafikan bahawa wanita Cina sejak PRU yang lalu menunjukkan sokongan yang sangat memberansangkan kepada satu-satunya gabungan yang berpengalaman membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Pengamatan ini disokong oleh banyak bukti yang terlihat di lapangan. Di mana-mana sahaja di seluruh negara, kita melihat kaum wanita Cina begitu aktif terlibat dalam pelbagai program politik dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh BN. Keadaan ini paling jelas terlihat berlaku di Sabah dan Sarawak.

pbbbintulu

Jika hendak dibandingkan dengan lelaki Cina, kita melihat kaum wanita dan ibu daripada etnik itu lebih menyerlah dalam menunjukkan keterlibatan mereka dalam banyak Jawatankuasa penganjuran pelbagai acara di kawasan Parlimen atau pun DUN masing-masing. Ia sekaligus memperlihatkan sentimen kemasyarakatan mereka yang lebih dekat dan realistik berbanding kaum lelaki Cina.

Di Semenanjung, rakyat mungkin boleh melihat kepada sebuah pertubuhan yang diasaskan untuk kepentingan kaum wanita Cina di Perak iaitu Kelab Makcik Padang Rengas yang cukup aktif dengan pelbagai aktiviti yang dikelolakan. Baharu sahaja ditubuhkan beberapa tahun yang lalu, kelab yang mempunyai rata-rata keahlian daripada kaum ibu ini memainkan peranan yang cukup penting dalam menjana sokongan masyarakat Cina terhadap BN. Adalah penting untuk melihat betapa para suami dan anak-anak lelaki kaum ibu ini begitu menyenangi setiap program yang dianjurkan kelab tersebut.

Contoh-contoh sebegini merupakan satu perkembangan yang cukup baik untuk BN menjelang PRU kelak. Jika dahulu hanya segelintir wanita Cina yang dilihat bersama BN, hari ini rata-rata mereka tidak lagi segan menjadi tunjang utama dalam banyak kegiatan politik dan sosial BN. Umum mengetahui bahawa memang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan untuk wanita Cina menjadi penentu dalam banyak keputusan yang dibuat di rumah dan dalam keluarga mereka.

nazri_aziz_20180302_tmihasnoor_004___full

Ketika ramai asyik bercakap mengenai Tsunami Cina pada dua PRU yang lalu, kita jangan terlepas pandang bahawa undi daripada wanita Cina adalah antara faktor terbesar yang menyumbang kepada kemenangan BN. Malah, jika diukur peratusan jantina yang keluar mengundi mengikut kaum, kita pasti akan mendapati golongan wanita dan ibu membentuk peratusan pengundi Cina yang sangat besar pada PRU yang lalu.

Ia sekaligus mencerminkan betapa bijak dan rasionalnya kumpulan pengundi ini yang melihat BN sebagai satu-satunya pihak yang mampu memberikan jaminan terhadap kepentingan kaum Cina. Mereka tahu janji BN lebih realistik dan segala kemudahan yang dinikmati di bawah pentadbiran sebelum ini ‘dicerna’ dengan baik. Mereka tidak melihat pilihan yang lebih baik untuk membangunkan kepentingan masyarakat Cina melainkan BN sendiri.

Maka sesuai dengan martabat serta peranan wanita dalam masyarakat Cina, pengundi lelaki kaum itu perlu melakukan sedikit refleksi. Jika kaum wanita dan ibu yang tentunya mempunyai pertimbangan yang lebih luas sendiri menyokong dan mempercayai BN, tidakkah kaum lelaki Cina lebih mempercayai penilaian isteri dan ibu mereka?

Dengan wanita membentuk lebih separuh daripada jumlah pemilih keseluruhan pada PRU kali ini, pola sokongan tinggi wanita Cina terhadap BN dijangka akan kekal dan terus bertambah baik. Apatah lagi dalam keadaan BN sudah pun membentangkan pelbagai pelan tersusun dalam manifesto mereka untuk pemerkasaan kedudukan dan peranan wanita, wanita Cina dijangka akan terus mengundi dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap BN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here