BEBERAPA minggu yang lalu, kempen #UndiRosak yang dipelopori dan cuba dikembangkan sekumpulan anak muda mungkin kedengaran agak asing dalam kalangan netizens dan juga rakyat terbanyak di negara ini. Namun, semuanya berubah dan kempen tersebut mula meraih momentum serta perhatian ramai sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika pakatan itu berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum (PRU) kelak.

Secara ringkasnya, kempen #UndiRosak yang kini sedang berlegar luas di pelbagai platform media sosial adalah berkisarkan tentang perasaan kecewa dan tidak puas hati anak muda mengenai situasi politik semasa tanahair. Adalah difahami bahawa kelompok anak muda ini pada asalnya penyokong pembangkang yang mahu melihat kerajaan BN ditukar pasca PRU nanti. Namun, pemilihan Mahathir sebagai calon perdana menteri oleh PH dilihat sebagai anti-tesis kepada agenda perubahan yang mereka harapkan.

Bagi mereka, pemilihan Mahathir sebagai calon ketua kerajaan menjadikan PH tidak lebih baik daripada BN yang mahu mereka tukar. Maka kempen #UndiRosak diwujudkan bagi menggalakkan orang ramai turun pada hari mengundi, tetapi dengan matlamat merosakkan undi sebagai satu bentuk protes kepada pilihan yang ditawarkan baik oleh BN mahupun oleh PH.

Anak Muda Perlu Matang Dan Waras

Walau bagaimanapun, di sana terdapat satu kaedah umum yang diterima pakai secara meluas oleh masyarakat: matlamat tidak menghalalkan cara sekalipun niatnya adalah baik. Justeru, tindakan kumpulan ini yang mempelopori kempen #UndiRosak ini tidak boleh sama sekali dilihat sebagai satu inisiatif yang baik, lebih-lebih lagi ianya melibatkan soal pemilihan pemimpin dan penentuan masa depan negara. Menggalakkan orang ramai untuk turun ke peti undi dan merosakkan undi tersebut kemudiannya tidak memberikan apa-apa makna selain hanya membazirkan masa dan tenaga. Jika niatnya sudah begitu, samalah sahaja seperti tidak keluar mengundi kerana pada akhirnya undi yang rosak tidak menentukan apa-apa.

Lebih-lebih lagi bagi orang Islam yang perlu melihat mengundi sebagai satu bentuk kefardhuan dan kewajipan. Soal memilih pemimpin adalah perkara besar dalam kehidupan Muslim dan tidak boleh dipermainkan sebegitu rupa. Kempen #UndiRosak secara jelas menggalakkan rakyat untuk membuang masa dan tenaga mereka yang akhirnya hanya menzahirkan perkara yang sia-sia. Jika kempen itu mendapat sambutan sekalipun, mesej yang cuba disampaikan melalui undi yang rosak tidak akan mengubah apa-apa.

Amat menyedihkan untuk kita melihat sebilangan rakyat khususnya anak muda boleh ‘terfikir’ mengenai idea sebegini. Ianya jelas satu langkah ke belakang, menunjukkan pemikiran mereka yang kurang matang apabila bercakap soal kepimpinan. Ketika ramai pihak menggesa agar kelayakan umur mengundi diturunkan daripada 21 ke 18 tahun, gerakan dan kempen #UndiRosak yang semakin diperkatakan ini jelas membuktikan sebahagian rakyat Malaysia sebenarnya belum bersedia untuk melihat serta membicarakan isu politik dengan kacamata dan minda kelas pertama.

Kebimbangan Pakatan Dan Keuntungan Barisan

Ternyata pihak yang paling gusar dan bimbang mengenai perkembangan ini adalah pembangkang, khususnya PH. Jika kempen ini benar-benar disambut sejumlah besar rakyat kelak, merekalah yang akan paling terkesan kerana pada hakikatnya, kempen #UndiRosak ini diwujudkan sebagai protes terhadap BN dan Mahathir sendiri sebagai calon perdana menteri pembangkang. Maka secara logiknya, rata-rata penyokong kempen ini tentulah mereka yang sebelum ini merupakan penyokong PH. Kebimbangan PH dalam hal ini sememangnya berasas dengan mengambil kira faktor #UndiRosak yang menjadi antara 10 topik terhangat yang dibicarakan rakyat Malaysia di Twitter sepanjang minggu ini.

Bagi kem BN pula, mereka mungkin tidak begitu risau mengenai perkembangan kempen ini kerana ianya hanya melibatkan penyokong pembangkang pada skala yang besar dan sebilangan jumlah lain yang masih belum membuat sebarang keputusan. Hakikatnya, sebelum kempen #UndiRosak ini muncul, kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun membuat keputusan mengenai siapakah pihak yang bakal dipilih mereka pada PRU kelak. Jika kempen ini berjaya mendapat sambutan, pembangkanglah yang akan rugi kerana undi yang sepatutnya datang daripada sebahagian penyokong mereka akan menjadi undi rosak sedangkan undi untuk BN daripada pendokong kerajaan akan setidak-tidaknya terus kekal.

Maka tidak hairanlah Mahathir begitu beria-ria menuduh kempen #UndiRosak ini sebagai satu lagi muslihat BN untuk memecah dan mensabotaj undi pembangkang. Mengenali sikap Mahathir sejak sekian lama, tuduhan seumpama itu tidak menghairankan rakyat kerana bekas perdana menteri itu sememangnya gemar mencari kesalahan orang lain. Ada sahaja pihak yang hendak dikambinghitamkan bagi menutup kelemahan dirinya sendiri.

Henti Bersikap Kebudak-budakan

Tanpa mengira siapa pun pihak yang untung ataupun rugi akibat daripada kesan kempen #UndiRosak ini, rakyat perlu menolak kempen seumpama ini jika kita benar-benar serius mahu melangkah setapak ke hadapan ke arah melahirkan masyarakat yang celik politik. Sedarlah bahawa kempen seumpama ini hanya akan melahirkan individu yang berfikiran cetek, tidak kreatif dan mudah pula berputus asa. Benar, politik sememangnya ‘memeningkan kepala’ dan kadang-kadang ianya sangat ‘meletihkan’ bagi sesetengah pihak. Tetapi itu tidak bermakna kita perlu mengambil jalan yang singkat dengan merencatkan proses demokrasi yang ada.

Setiap individu yang sudah ‘lelah’ dengan BN mahupun PH, tetapi memilih untuk merosakkan undi tanpa menawarkan sebarang alternatif kepada rakyat adalah mereka yang tentunya kekeringan idea. Entah apa yang hendak dicapai dan dicari dengan kempen #UndiRosak sebegini memang sukar difahami. Ia hanyalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab, kebudak-budakan dan mencerminkan mentaliti yang sangat rendah dalam kalangan mereka yang terlibat. Dengan sikap sebegitu, mereka hanya menyemai satu budaya politik yang tidak sihat dan kita khuatir perkara itu akan menjadi satu norma yang diterima pula pada masa hadapan. Maka pilihan yang sebaiknya bagi seluruh rakyat adalah dengan tetap turun mengundi tanpa mengira siapa pun pilihan mereka kerana hal itu menunjukkan mereka adalah rakyat yang cakna dan bertanggungjawab. Tambahan pula, perubahan yang didambakan pasti mustahil akan berlaku sekiranya ianya tidak bermula dengan diri sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here