ISU membabitkan kerjasama UMNO dan PAS bukan perkara baharu.

Sebelum ini tersebar satu rakaman yang didakwa ucapan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam satu mesyuarat.

Dalam rakaman itu, Nik Abduh dikatakan ‘mengesahkan’ wujudnya kerjasama antara UMNO dan PAS.

Beberapa hari sebelum itu, seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyatakan akan mendedahkan butir rakaman tersebut dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, permuafakatan antara PAS dan UMNO adalah atas konsep ‘taawun’ iaitu penyatuan atau kerjasama dalam perkara kebaikan bukan kejahatan.

Timbul persoalan, ada masalahkah jika dua parti yang mewakili orang Melayu itu bekerjasama?

Tetapi malangnya, dalam kalangan ahli politik Melayu terutamanya PH, mereka merasakan ini sesuatu yang aneh dan harus dihalang.

Sedangkan, kalaupun benar kerjasama itu berlaku ini akan memberi manfaat besar kepada perpaduan Me­layu dan umat Islam di negara ini.

Sebenarnya, tidak salah PAS bekerjasama dengan UMNO kerana banyak ciri persamaan antara kedua-dua parti berkenaan.

Apakah ciri persamaan itu?

Pertama, orang UMNO dan PAS adalah Melayu dan beragama Islam.

Kedua, hala tuju perjuangan UMNO dan PAS sejak awal lagi adalah untuk bangsa, agama dan negara.

Ketiga, sekiranya PAS mahu suasana Islam dilaksanakan di Malaysia, UMNO sedang melaksanakannya secara bertahap mengambil kira kepada penguasaan ilmu dan profesionalisme di samping memberi kefahaman kepada yang bukan Islam.

Sebenarnya banyak faedah jika UMNO dan PAS bekerjasama dalam menguruskan pembangunan negara.

Antaranya, dapat meleraikan pertelingkahan politik yang membazir masa dan hayat perjuangan dengan sia-sia.

Kerjasama UMNO dan PAS juga dapat menentukan kuasa majoriti menjadi lebih mantap dan membantu penggubalan dasar serta pelaksanaan dasar berjalan dengan baik.

Selain itu, kerjasama itu juga sebagai pemanfaatan sumber daya manusia yang lebih terpusat bagi menggerakkan islah atau perubahan.

Benarkah ada pihak yang tidak mahu UMNO dan PAS bekerjasama?

Sudah tentunya perkara itu begitu ditakuti PH terutamanya DAP.

Oleh sebab itu, DAP mencari talian hayat baharu dengan menjalinkan kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

DAP pasti menyedari pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR semakin merosot serta kini dalam pertikaian.

DAP juga tahu PAN yang digerakkannya tidak akan pergi jauh dengan pengaruh akar umbi PAS yang masih kuat sehingga kini.

Oleh sebab itu, DAP merasa kerugian yang amat sangat apabila PAS meninggalkan pakatan pembangkang.

Tidak dinafikan, untuk kepemimpinan PAS memujuk orangnya bekerjasama dengan UMNO juga tidaklah mudah kerana telah sekian lama PAS mendidik ahlinya untuk membenci UMNO.

Dengan kepemimpinan PAS yang diketuai Abdul Hadi, kini ia seolah-olah membayangkan jiwa besar ke arah kerjasama dan kesatuan ummah.

Jika PAS memilih bersendirian untuk ke Putrajaya, ia jelas bukan tugas mudah.

Kerjasama PAS bersama Pakatan Rakyat sebelum ini sudah terbukti gagal ke Putrajaya.

Jika PAS memilih untuk bersama dengan UMNO, ia sekali gus menjadikan politik umat Islam bertambah kukuh.

Jadi, sudah sampai masanya untuk umat Islam melihat kepada konsep bersatu pada PRU-14 kali ini.

Paling penting, setiap konsep penyatuan ini perlu dilihat dalam aspek positif selain kepentingannya demi agama, bangsa dan juga negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here