SEMALAM, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan kesediaan mereka untuk memberi laluan kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam mengetuai jentera pembangkang di negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Dalam kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi PH Sabah dan Pengerusi DAP negeri Stephen Wong, PH berkata mereka bersetuju untuk membahagikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dengan WARISAN di mana parti tempatan itu akan memonopoli 60 peratus kerusi sementara 40 peratus yang lain pula ditandingi PH.

Sebagai balasan dan pertukaran, PH meminta agar 60 peratus daripada kerusi Parlimen di Sabah diberikan kepada pakatan yang berpengkalan di Semenanjung itu dan WARISAN sendiri bertanding di baki 40 peratus kerusi yang lain. Buat masa ini, Sabah mempunyai 60 kerusi DUN dan 25 kerusi Parlimen.

Pengumuman yang dibuat PH Sabah semalam adalah susulan daripada mesyuarat panjang antara mereka dengan Timbalan Pengerusi PH Kebangsaan merangkap Pengarah Pilihan Raya PH Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin. Adalah difahami bahawa dalam persediaan mereka menghadapi PRU yang akan datang, pimpinan PH pusat telah meminta pimpinan pakatan itu di Sabah agar mencapai persetujuan akhir mengenai pembahagian jumlah kerusi di negeri itu dengan WARISAN selewat-lewatnya pada akhir Januari 2018.

Kenyataan semalam sudah tentu penting buat PH menggambarkan kepada rakyat dan penduduk Sabah khususnya bahawa mereka mempunyai persefahaman dan kesepakatan yang baik dengan WARISAN di Sabah. Selain dilihat penting untuk pengumuman rasmi mengenai senarai calon mereka di seluruh Malaysia kelak, pengumuman semalam juga adalah bagi memberikan isyarat kepada BN dan blok politik yang lain bahawa PH kini telah cukup bersedia untuk bertanding di mana-mana negeri sekalipun.

Menyifatkan hubungannya dengan Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal sebagai “kawan baik”, Muhyiddin nyata berkongsi matlamat yang sama dengan Ahli Parlimen Semporna itu untuk menewaskan UMNO dan BN di Sabah. Untuk rekod, Muhyiddin sebelum ini telah dipecat daripada UMNO pada 2016 dan hanya sebulan selepas itu, Shafie pula mengumumkan keputusan untuk keluar UMNO sebelum menubuhkan WARISAN yang ada pada hari ini.

Walau bagaimanapun, di sebalik langkah “positif” yang dibuat PH semalam, ternyata pengumuman yang dibuat berkenaan dengan pembahagian jumlah kerusi itu hanyalah merupakan keputusan sebelah pihak. Ini kerana WARISAN sendiri tidak dirujuk terlebih dahulu dan tidak ada pula sebarang rundingan rasmi yang mengambil tempat antara PH dengan parti tempatan yang baharu itu. Justeru, pengumuman PH semalam tidaklah boleh dilihat sebagai sebuah persetujuan rasmi antara kedua-dua pihak buat masa ini biarpun WARISAN dipercayai mungkin akan berpuas hati dengan bilangan kerusi yang diberikan kepada mereka.

Tentulah apabila kedua-dua blok politik itu mencapai persetujuan rasmi kelak, ianya bakal memberikan satu momentum yang positif, setidak-tidaknya di mata mereka sendiri. Namun sejauh mana kerjasama politik PH-WARISAN di Sabah mampu menarik sokongan dan undi penduduk negeri itu, ianya masih lagi boleh dipersoal dan dipertikaikan. Umum mengetahui bahawa sentimen tempatan dan kenegerian begitu menebal dan mempengaruhi politik Sabah, mirip seperti apa yang dilihat di Sarawak.

Secara perbandingan, sebuah lagi blok pembangkang negeri iaitu Gabungan Sabah (GS) yang dianggotai oleh Parti Harapan Rakyat Sabah, STAR, PPRS dan juga SAPP mungkin mempunyai peluang yang lebih baik berbanding PH-WARISAN jika faktor ini menjadi penentu kelak. Biarpun mereka dilabel sebagai ejen BN oleh WARISAN, blok pembangkang yang baharu ini nampaknya terus berprinsip untuk tidak berpakat dengan mana-mana parti di luar Sabah dalam misi mereka mencipta arus politik baharu di negeri itu. Hakikat ini sahaja mungkin boleh menjadi daya penarik di mata pengundi kelak.

PH Sabah yang diketuai DAP pula nampaknya sehingga hari ini masih lagi bergelut untuk mencari isu yang bertepatan dengan faktor sentimen sebegitu. Lebih malang, WARISAN sendiri kini terpaksa menepis pelbagai persepsi dan dakwaan mengenai salah laku beberapa pemimpin utamanya dalam isu penyelewengan dana kementerian di Sabah. Dalam perkembangan terbaharu, Shafie pula mencipta keriuhan yang tidak kurang kontroversinya apabila beliau didakwa menghina dan memperlekehkan peranan anggota RELA yang ditempatkan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE). Shafie dilaporkan telah menyifatkan anggota RELA hanya layak menjaga trafik di majlis kenduri. Samada Shafie sedar atau tidak, beliau dan WARISAN sendiri telah mencipta sekelompok musuh politik dalam isu ini.

Kerjasama PH-WARISAN di Sabah menjelang PRU kelak juga secara jelas akan menghantar satu mesej kepada penduduk di negeri tersebut bahawa parti pimpinan Shafie itu kini merupakan ejen kepada PH, sebuah pakatan yang berpengkalan di Semenanjung. Hakikat ini nyata berlawanan dan bercanggah pula dengan kehendak penduduk Sabah yang mahukan politik di negeri itu dimonopoli oleh parti-parti tempatan yang lebih memahami keperluan dan kehendak mereka. Daripada satu sisi yang lain, permintaan PH kepada WARISAN dalam isu pembahagian kerusi DUN dan Parlimen di Sabah juga membayangkan hasrat pakatan itu, khususnya DAP, yang sejak sekian lama bercita-cita besar untuk mendominasi dan mentadbir negeri tersebut yang begitu kaya dengan pelbagai sumber alam.

Biarpun mereka mungkin telah selangkah ke hadapan dalam mengatur strategi dan kerjasama politik di Sabah, pembahagian kerusi antara PH dengan WARISAN secara realitinya tentu lebih sukar daripada hanya sekadar menentukan bilangan peratusan kerusi yang hendak ditandingi. Pelbagai faktor lain yang perlu dipertimbangkan antara kedua-dua pihak terutamanya dalam isu pembahagian antara kerusi bandar dengan luar bandar.

Perang mulut yang berlarutan sejak beberapa hari lalu antara DAP dengan WARISAN dalam isu ini menjadi bukti bahawa kerjasama politik antara kedua-dua parti itu tidaklah semudah seperti apa yang dipertontonkan kepada khalayak. Selain itu, faktor perwatakan calon, jentera parti dan penerimaan penduduk di kawasan-kawasan yang ditandingi juga perlu mereka perhalusi sebelum sebarang persetujuan lanjut dapat dicapai. Jelas, ini sememangnya bukan kerja mudah untuk PH dan WARISAN.

Sementara itu, satu polemik baharu telah mula muncul mengenai jumlah sebenar kerusi DUN yang wujud di Sabah. Perlembagaan negeri kini menyatakan bahawa bilangan kerusi DUN di Sabah adalah sebanyak 73 dan bukan lagi 60 seperti yang ada pada hari ini. Peruntukan mengenai pertambahan 13 kerusi baharu itu telah pun digazetkan pada Ogos tahun lalu, namun masih belum melalui kelulusan Parlimen. Jika pindaan tersebut diluluskan Parlimen pada sesi akan datang iaitu dijadualkan pada Mac, tentulah kerjasama politik PH-WARISAN akan sedikit sebanyak terganggu dalam konteks pembahagian kerusi yang semakin bertambah. Pada masa itu, rakyat dan penduduk Sabah akan melihat bagaimana pula kedua-dua blok politik ini akan kembali bergelut untuk membentuk persetujuan baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here