JIKA diambil kira jumlah parti politik yang akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) kelak, barangkali rakyat akan melihat Sabah sebagai medan pertarungan yang paling “meriah”. Mana tidaknya, BN bukan sahaja bakal tampil mempertahankan penguasaan mereka di negeri tersebut daripada dirampas gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR, AMANAH dan juga PPBM, malah mereka juga bakal berhadapan dengan sejumlah parti pembangkang tempatan lain yang juga bukan sedikit bilangannya.

Mendepani PRU yang bakal tiba tidak lama lagi, ramai pemerhati berpendapat bahawa parti-parti politik tempatan di Sabah dijangka akan mempunyai sedikit kelebihan dalam menarik sokongan pengundi di negeri itu. Pernyataan sebegini bermakna BN dan sebilangan parti pembangkang tempatan yang lain kini berada dalam posisi terbaik dalam meraih undi penduduk di Sabah.

Buat masa ini, BN hanya mempunyai lima komponen aktif yang bertanding di Sabah; UMNO, UPKO, PBS, LDP dan PBRS. Parti pembangkang pula sehingga saat ini mencecah 13 entiti termasuklah komponen PH dan juga PAS. Maka perbandingan di atas kertas secara logiknya menunjukkan BN seolah-olah bakal berdepan tugas maha getir untuk menangkis serangan pembangkang di Sabah dan dalam masa yang sama mempertahankan dominasi politik mereka di Negeri Di Bawah Bayu itu. Namun realitinya, cabaran yang bakal dihadapi BN Sabah mungkin jauh lebih mudah daripada apa yang dilihat secara kasar. Hakikat ini disokong oleh beberapa sebab.

Kebanjiran Entiti Pembangkang

Sabah

Dengan lebih sedozen bilangan mereka di Sabah, parti pembangkang yang bertarung di negeri itu pada PRU kelak bakal menyebabkan pemecahan undi paling banyak. Mana tidaknya, parti-parti pembangkang ini bukanlah semuanya bersatu dalam satu gabungan. Selain PH yang dianggotai DAP, PKR, AMANAH dan PPBM, politik Sabah juga menyaksikan sebuah lagi pakatan pembangkang tempatan yang tidak kurang kecilnya iaitu Gabungan Sabah (GS). Buat masa ini, GS dianggotai oleh Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Di sana juga terdapat beberapa lagi parti pembangkang tempatan yang lain seperti Parti Warisan Sabah (WARISAN), Parti Cinta Sabah, Parti Anak Sabah dan Parti Kebangsaan Sabah yang nampaknya lebih selesa bersendirian, setidak-tidaknya buat masa ini. Yang pasti, jumlah parti pembangkang yang terlalu banyak ini sedikit sebanyak bakal memeningkan kepala pengundi bila tibanya hari memilih kelak.

Dominasi Sentimen Tempatan

sabah

Dari satu perspektif yang lain, kebanjiran parti politik tempatan ini juga memberi makna bahawa sentimen tempatan merupakan faktor terpenting yang mempengaruhi undi penduduk di Sabah. Isu-isu seperti kos sara hidup, bekalan air, tenaga, naik taraf jalan serta kemudahan-kemudahan penduduk yang lain nampaknya lebih menarik perhatian pengundi berbanding isu-isu yang hangat diperkatakan di Semenanjung seperti 1MDB dan FELDA umpamanya. Atas faktor itu jugalah, PH dijangka berdepan tugas paling sukar untuk memenangi hati penduduk Sabah kerana mereka berpengkalan di Semenanjung dan tidak pula begitu memahami sentimen dan isu-isu tempatan. Lantaran itu kita melihat sebilangan wakil rakyat DAP dan PKR di Sabah akhirnya memilih untuk keluar parti dan menubuhkan ataupun menyertai entiti politik pembangkang di negeri itu.

Ketidaksepakatan Pembangkang

sabah

Apatah lagi dengan faktor pembangkang di Sabah yang nyata tidak bersatu hati untuk berhadapan dengan BN. WARISAN umpamanya kini dalam pertelingkahan yang tidak berkesudahan dengan GS apabila menuduh gabungan itu sebagai ejen BN dalam memecahkan undi. Di pihak GS pula, mereka melihat WARISAN sebagai terlalu angkuh dan sombong. WARISAN yang diketuai bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal buat masa ini menyokong aspirasi PH untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan apabila menyatakan sokongan terbukanya terhadap penamaan Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekiranya BN berjaya ditumbangkan.

Namun hakikatnya WARISAN sendiri masih lagi gagal mencapai kata sepakat dengan PH di Sabah. Parti itu menggesa agar PH khususnya DAP tidak bertanding di kawasan pedalaman memandangkan WARISAN mempunyai pengaruh dan peluang yang lebih kuat di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun DAP ternyata mempunyai idea yang berlainan apabila menegaskan bahawa DAP sendiri turut mempunyai peluang yang cerah di kawasan-kawasan luar bandar. Ketidaksepakatan ini menunjukkan bagaimana pembangkang di Sabah tidak langsung bersatu hati dan tenaga ke arah mencapai matlamat politik mereka. Ia juga secara langsung bercakap mengenai satu sikap serupa sesama mereka – gila kuasa.

Legasi Kecemerlangan Di Bawah BN

sabah

Situasi seumpama ini jelas tidak terlihat dalam kem BN di Sabah. Walaupun berdepan dengan bilangan entiti politik pembangkang yang semakin “meriah”, persefahaman komponen-komponen BN di negeri itu tampak kekal kukuh dan utuh. Faktor kepimpinan cemerlang Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dilihat begitu dominan sehingga Sabah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang semakin mapan. Di peringkat parlimen, BN mengungguli 21 daripada 25 kerusi setakat ini dan dijangka tidak akan berdepan sebarang masalah untuk setidak-tidaknya mengekalkan jumlah kerusi yang sedia ada menjelang PRU yang akan datang.

Dengan komitmen kerajaan pusat menggerakkan pelbagai projek di Sabah selain kesediaan dan keterbukaan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk mencari penyelesaian dan berbincang mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tentunya kemenangan BN di Sabah pada PRU14 bakal meneruskan lagi legasi kecemerlangan dan kemajuan yang telah dicipta. Mana tidaknya, dengan BN dijangka terus mengekalkan kemenangan di Semenanjung, kemenangan yang dihadirkan BN di Sabah pasti sahaja akan melancarkan urusan kerajaan negeri dalam hubungan mereka dengan kerajaan pusat di Putrajaya.

SHARE
Previous articleTerima Kasih Ronaldinho
Next articleSiapa calon Perdana Menteri PAS?
Nuh Abqari regards himself as a political scientist who actively does the outdoors, hiking and football in particular. Having led a modest life, he hates every overrated thing. Like Manchester United.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here