Pas tidak gentar jika parti itu terpaksa berdepan pertembungan tiga penjuru termasuk daripada Parti Amanah Nasional (Amanah) bagi 45 kerusi Dun Kelantan dalam PRU14 nanti.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, pihaknya tidak pernah ada halangan bagi mana-mana parti untuk bertanding.

Tegasnya, pihaknya tidak pernah gentar malah bersedia menghadapi Amanah di kesemua  45 kerusi Dun di negeri ini .

“Kita tiada masalah, kalau Amanah nak lawan di semua kerusi Dun pun kita tak gentar. Sebagai sebuah negara demokrasi, semua parti berhak bertanding.

“Kita tak akan mengalah, lawan tetap lawan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah sumbangan kepada johan qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2016, di Kampung Sungai Mas, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Ahmad menyampaikan sumbangan itu kepada  Wan Ainuddin  Abdullah yang  berjaya merangkul gelaran johan pada  Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-58.

Sinar Harian melaporkan Amanah Kelantan dijangka meletakkan sekurang-kurangnya 30 daripada 45 calon kerusi Dun Kelantan dalam PRU14 nanti sekaligus mendominasi pembahagian kerusi Pakatan Harapan di Kelantan.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here