MENDEKATI pengundi kali pertama dalam kalangan golongan muda akan menentukan keputusan kepada mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Ini kerana, kebanyakan pengundi baharu dilihat masih belum mempunyai komitmen kepada mana-mana parti politik.

Adalah menjadi tanggungjawab parti-parti politik memainkan peranan masing-masing mendekati secara bersemuka dan memahami harapan serta kebimbangan mereka tentang peningkatan kos sara hidup, inflasi dan sebagainya.

Adakah Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah akan diterima oleh pengundi baharu atau kali pertama pada PRU-14?

Sukar untuk menentukan parti politik manakah yang akan menjadi pilihan pengundi kali pertama ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menganggarkan lima juta pengundi muda bakal mengundi buat kali pertama pada PRU-14.

Jadi, sangat penting bagi pemimpin UMNO semua peringkat mendekati mereka.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2008 terdapat 600,000 pengundi muda dan pada PRU-13 ia meningkat kepada tiga juta orang.

Kenapa mendekati pengundi baharu dan kali pertama penting dilaksanakan?

Ini kerana, PRU-14 dijangka diadakan tidak lama lagi walaupun tarikh tepat masih belum lagi diketahui.

Tarikh bilakah PRU-14 akan diadakan tidak penting. Apa yang jauh lebih penting adalah keputusan pengundi dalam menentukan parti politik manakah yang akan menerajui Kerajaan Pusat dan juga menguasai pentadbiran di peringkat negeri.

Apakah keputusan PRU-14 nanti berbeza daripada keputusan PRU-12 pada 2008 dan PRU-13 pada 2013?

Adakah pihak BN masih tetap menguasai pentadbiran pusat atau beralih kepada pihak pakatan pembangkang?

Adakah BN akan terus kekal menguasai negeri yang sedia dipimpin hari ini atau ada yang akan diambil alih oleh pakatan pembangkang?

Sejauh manakah pakatan pembangkang boleh diterima oleh pengundi secara menyeluruh?

Kenapa pada PRU-13, pakatan pembangkang gagal menguasai Kerajaan Pusat?

Jumlah kerusi Parlimen yang dikuasai pakatan pembangkang pada 2013, hanya 89 kerusi berbanding 133 dimenangi BN.

Bilangan kerusi diperlukan pakatan pembangkang pada PRU-13 hanya 23 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan, tetapi kenapa jumlah ini gagal diperoleh?

Daripada jumlah 89 kerusi itu, jumlah yang paling banyak adalah DAP dan PKR bukan Melayu.

Komponen pakatan pembangkang daripada parti politik Melayu-Islam iaitu PKR Melayu dan PAS adalah jauh lebih kecil.

Secara rumusan mudah, adalah sokongan kecil diberikan pengundi terhadap PAS dan PKR Melayu yang menjadi sebab utama pakatan pembangkang gagal mendapat jumlah kerusi mencukupi bagi membentuk Kerajaan Pusat.

Apabila bercakap mengenai pengundi baharu, ia biasanya melibatkan golongan muda.

Adakah kalangan orang muda hanya sinikal terhadap kerajaan?

Mereka juga tidak menggemari pembangkang dan ada yang menyokong kerajaan.

Sokongan terhadap mana-mana parti politik kini boleh dianggap sesuatu yang subjektif.

Secara keseluruhan, daftar pengundi terbaharu menunjukkan sejumlah 14,622,640 orang layak mengundi dalam PRU-14.

Ini berbanding cuma 13,291,385 pengundi dalam PRU-13. Daripada sudut perbandingan secara tradisional dan konservatif, pertambahan pengundi keseluruhan adalah 1,331,255 orang.

Namun daripada analisis data, pertambahan pengundi sebenar adalah 2,179,572 dengan 1,965,813 adalah pengundi kali pertama yang bakal mengundi nanti.

Parti mana yang lebih dahulu mendekati pengundi baharu ini dan pandai mengambil hati mereka, parti itukah akan jadi pilihan mereka?

Sukar untuk menentukan pilihan pengundi baharu ini, mereka lebih gemar membuat keputusan pada saat-saat akhir.

Siapa cepat dekati mereka, pasti keputusan atas kertas akan memihak kepada parti itu sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here