DR. Zamihan Mat Zin Al-Ghari bukanlah satu nama yang perlu diperkenalkan lagi dalam mana-mana wacana agama dan politik tanahair. Mutakhir ini, beliau begitu mencuri tumpuan media dan rakyat dalam beberapa kenyataannya yang dilihat ‘berlawanan’ dengan kenyataan beberapa personaliti lain dan pegangan sebahagian besar orang awam. Malah, sebahagian kenyataan yang dikeluarkan beliau selaku Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWAJA) adakalanya dilihat sebahagian orang sebagai terlalu keras khususnya apabila ianya melibatkan pertembungan pendapat antara Islam dan bukan Islam.

Ramai yang tentunya masih lagi mengingati komen Zamihan yang tidak bersetuju dengan titah Sultan Johor tahun lalu mengenai isu perkhidmatan dobi mesra Muslim di Muar sehinggakan komen beliau itu dalam satu sesi ceramahnya mengundang reaksi yang bercampur-baur daripada masyarakat. Zamihan juga sebelum ini terkenal dengan pendapatnya yang lantang dan keras mengenai DAP, sama tegasnya dengan pendapat yang selalu diutarakan seorang lagi sosok terkenal, Dr. Ridzuan Tee Abdullah.

Undi DAP Haram?

Justeru, apabila Zamihan mengeluarkan pendapatnya baru-baru ini mengenai haramnya mengundi DAP pada mana-mana pilihan raya atas sebab faktor parti tersebut yang secara terang-terangan menunjukkan sikap anti-islam, ia mengundang polemik baru dalam masyarakat sehinggakan seorang felo kanan badan berkait Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mengeluarkan pendapat dan ulasan mengenai komen beliau itu.

Dalam ulasannya, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali daripada Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) semalam menyarankan agar para mufti di Malaysia mengeluarkan fakta tentang menyokong, membantu dan mengundi DAP yang didakwa membawa agenda sekularisme dan ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam saranannya itu, Engku Ahmad berkata pihak berkuasa agama juga perlu mengeluarkan fatwa yang menepati undang-undang Islam bagi memastikan tidak berlaku kecelaruan dan suasana tidak tenteram dalam masyarakat.

Sebagai sebuah entiti politik yang telah lama bertapak di negara ini, DAP dilihat ramai pihak sebagai parti yang secara terang-terangan memberikan ancaman terhadap keluhuran perlembagaan Malaysia yang jelas meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Malah, DAP juga selalu disebut-sebut terlibat dalam agenda menghakis identiti Islam dalam kehidupan rakyat di negara ini.

Penglibatan Dengan Gerakan Kristian Evangelis Radikal

Di sana terdapat desas-desus dan kebimbangan yang jelas mengenai penglibatan DAP dan aktivis parti tersebut dengan Negara Kristian Evangelis Radikal (Radical Evangelist Christian State – RECS) yang diketahui memang mempunyai niat dan agenda jahat terhadap umat Islam. Untuk memahami sejauh mana bahayanya gerakan ini, umat Islam boleh merujuk kepada kontroversi yang dicetuskan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini. Pengaruh Kristian Evangelis yang kuat dalam pentadbiran AS adalah faktor utama yang mendorong keputusan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel hujung tahun lalu.

Kebiadapan Terhadap Institusi Islam

Apa pun, pendapat Zamihan mengenai haramnya memberi undi kepada DAP dan kebimbangan Engku Ahmad mengenai ancaman yang dibawa parti serpihan PAP di Singapura itu ada asas dan rasionalnya. Saban tahun, umat Melayu di Malaysia berdepan dengan penentangan DAP dalam banyak isu yang melibatkan kepentingan Islam dan penganutnya. Jika kita dapat mengingati kembali dengan baik, setelah pembangkang berjaya membentuk kerajaan di Selangor pasca PRU12, antara langkah awal yang dilakukan oleh PAS ketika itu adalah mengharamkan penjualan arak di kawasan majoriti Muslim khususnya di Shah Alam. Biarpun PAS dan DAP pada ketika itu bersama-sama membentuk kabinet di peringkat negeri, penentangan lantang DAP dalam isu pengharaman jualan arak tersebut akhirnya memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan PKR untuk menarik balik langkah seumpama itu.

Situasi serupa dilihat dalam isu pesta arak ataupun Better Beer Festival yang menjadi perdebatan hangat Oktober tahun lalu. Penganjuran pesta yang lebih dikenali sebagai Oktoberfest itu di ibu negara telah mengundang bantahan hebat umat Islam di Malaysia. Namun DAP tetap menjadi entiti yang paling terkehadapan mempertahankan penganjuran pesta tersebut, sekaligus memperlekeh dan memperkecilkan penentangan keras umat Islam pada ketika itu. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng umpamanya dalam satu majlis di negeri itu menyindir umat Islam dalam isu tersebut apabila beliau berkata tidak akan membiarkan Pulau Pinang menjadi negeri “Taliban”.

Penentangan jelas DAP terhadap agenda umat Islam di negara ini mungkin paling jelas dapat dilihat dalam bantahan berterusan mereka dalam isu Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang berkaitan pemerkasaan mahkamah Shariah di Malaysia. RUU yang langsung tidak ada kaitan dengan orang bukan Islam itu cuba digagalkan proses kelulusannya oleh DAP tanpa henti, sekaligus mencerminkan betapa bersungguhnya parti tersebut untuk menghalang pemerkasaan dan pelaksanaan nilai Islam dalam kehidupan umat Islam sendiri. Ternyata itu adalah garis merah umat Islam yang sudah DAP pijak samada orang Melayu sedar atau tidak.

Nilai Semula Sokongan Kepada DAP

Jika hendak disingkap satu per satu, maka banyak lagi tindakan dan tingkah DAP yang kita lihat sememangnya memberikan ancaman yang bukan kecil kepada keutuhan nilai-nilai Islam di negara ini. Bentuk ancaman ini bukan sahaja boleh merendahkan martabat Islam, bahkan ia juga berpotensi menghapuskan terus survival politik orang Melayu dalam jangka masa panjang. Hakikatnya hari ini kita melihat sesiapa sahaja dalam kalangan orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP seolah-olah dikunci mulut mereka untuk bersuara, dan diikat tangan dan kaki mereka untuk bertindak demi Islam.

Justeru, tidak hairanlah jika kita melihat beberapa personaliti seperti Zamihan dan ilmuan lainnya yang menggesa agar umat Islam menilai semula sokongan dan undian mereka kepada DAP. Dalam konteks ini, keperluan untuk para mufti mengeluarkan fatwa mengenai haramnya mengundi DAP mungkin tidak begitu mendesak memandangkan hak mengundi dan berpolitik adalah dijamin perlembagaan. Tambahan pula, fatwa-fatwa yang dikeluarkan sebelum ini dalam banyak hal lain pun tampak tidak diambil berat dan serius oleh sebahagian umat Islam. Maka sebarang fatwa dalam hal ini dijangka hanya akan mengundang polemik baharu dalam masyarakat dan menyebabkan perselisihan pendapat antara ilmuan Islam lain yang tentunya mempunyai kecenderungan politik yang berbeza.

Apa pun, ianya adalah penting umat Islam untuk menilai kembali politik bawaan DAP. Mereka perlu sedar bahawa DAP bukan sahaja bercita-cita menumbangkan kerajaan yang ada, bahkan mereka juga nampaknya tekad untuk terus ‘meruntuhkan’ nilai-nilai Islam yang sedia ada dengan menyubur serta mencambahkan lagi doktrin-doktrin sekular dalam sistem negara.

Maka umat Islam khususnya orang Melayu dalam kem Pakatan Harapan (PH) perlu segera sedar mengenai perkara ini. Mengundi untuk menukar sistem dan kerajaan yang sedia ada adalah hak berpolitik yang dijamin, tetapi jika undian tersebut membawa kepada ‘tersungkurnya’ agenda Islam dan kepentingan orang Melayu di negara ini, kepada siapa lagi mereka mahu berharap dan siapa pula yang mahu mereka persalahkan?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here