SELEPAS tidak lagi bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, PAS dilihat bersendirian sebelum memeterai kerjasama dengan Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan mewujudkan pakatan blok ketiga dikenali sebagai Gagasan Sejahtera.

Kini, timbul pula desas-desus parti Islam itu tidak lagi relevan dengan politik semasa selain lebih banyak mengambil pendekatan selamat apabila tidak menunjukkan permusuhan dengan musuh politik tradisinya, Barisan Nasional (BN).

Ini menyebabkan PAS dicemuh pelbagai pihak kerana cuba menjalin hubungan dengan UMNO sehingga ramai keliru dengan pendirian PAS.

Di sebalik cemuhan diterima, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan bertanding sebanyak mungkin kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Menurut Abdul Hadi juga, PAS akan bersama dengan Gagasan Sejahtera, sebaliknya bukan dengan BN atau Pakatan Harapan sekali gus menutup dakwaan PAS akan bekerjasama dengan BN pada PRU-14.

blokgs

Sebelum ini, PAS dilaporkan berkeyakinan untuk meletakkan calon di 100 daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, parti itu yakin memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi selain percaya dapat memerintah di empat negeri di semenanjung.

Tentunya, PAS tidak akan lupa pada rekod terdahulu parti itu dalam pilihan raya sebelum ini.

Jika dilihat kembali, PAS bertanding secara bersendirian dengan menggunakan logo parti itu adalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1978 selepas keluar daripada gabungan dengan BN pada 1977.

Dalam keputusan PRU 1978, di Kelantan, PAS hanya menang dua daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dan untuk kerusi Parlimen, PAS menang hanya dua daripada 10 kerusi.

Di Terengganu, BN menyapu bersih kesemua kerusi DUN dan Parlimen yang dipertandingkan. Di Kedah pula, PAS menang tujuh daripada 26 kerusi DUN yang ditandingi, manakala gagal di semua kerusi Parlimen yang ditandingi.

Begitu juga di Pulau Pinang, PAS turut kecundang apabila hanya berjaya memenangi satu daripada 26 kerusi DUN manakala daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandingi, PAS hanya berjaya memenangi satu daripada jumlah itu.

Hanya itu sahaja kerusi yang dimenangi PAS pada PRU 1978 dan di Parlimen PAS hanya ada tiga orang Ahli Parlimen iaitu dua dari Kelantan dan satu dari Pulau Pinang.

Pada PRU 1982, PAS hanya menang 10 daripada 32 kerusi DUN di Kelantan manakala menang empat daripada 12 kerusi Parlimen.

Di Terengganu, PAS menang lima daripada 28 kerusi DUN dan gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen.

Di Kedah, PAS hanya menang dua daripada 26 kerusi DUN dan menang satu daripada 13 kerusi Parlimen.

Di Perlis, PAS hanya menang satu daripada 12 kerusi DUN sahaja.

Pada 1982, PAS memiliki lima orang wakil rakyat di Parlimen iaitu empat orang dari Kelantan dan seorang dari Kedah.

Begitu juga pada PRU 1986, PAS menang 10 daripada jumlah 39 kerusi DUN di Kelantan dan menang satu daripada 13 kerusi Parlimen iaitu Pangkalan Chepa.

Di Terengganu, PAS hanya berjaya memenangi dua daripada 32 kerusi DUN.

Di Kedah, PAS hanya berjaya menang tiga daripada 28 kerusi DUN dan di Perlis, PAS menang satu daripada 12 kerusi DUN.

Kesemua rekod itu, dari PRU 1978 sehingga PRU 1986 dapat menunjukkan kekuatan sebenar PAS apabila bergerak sendiri dan tidak bergabung dengan mana-mana parti politik.

Pada PRU 1990, sukar untuk menyatakan kekuatan sebenar PAS kerana telah bergabung dengan Parti Semangat 46, manakala hasil gabungan tersebut telah memberi keuntungan besar kepada PAS terutamanya di Kelantan.

Pada PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013 pula, sokongan kepada PAS tidak dinafikan banyak dibantu oleh rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat PKR dan DAP terutamanya di Pantai Barat.

Jadi, apa yang meningkatkan keyakinan PAS untuk tidak bersama Pakatan Harapan atau bekerjasama dengan BN sebaliknya bersama Gagasan Sejahtera pada PRU-14?

Mungkin PAS kini lebih yakin dengan bergerak sendirian setelah sebahagian dari bekas kepimpinan mereka telah keluar dan menubuhkan Parti Amanah Negara atau PAN.

Adakah PAS kini lebih yakin dengan sokongan rakyat kerana masih lagi bergantung kepada isu RUU 355 yang mendapat tentangan DAP dan PAN?

Adakah PAS yakin rakyat akan memberikan undi simpati kepada PAS berhubung isu RUU 355?

Malah sokongan dari kelab bukan Melayu yang ditubuhkan oleh PAS, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dilihat telah memberi semangat kepada pemimpin PAS untuk berani menyatakan untuk tidak lagi mahu bersama di dalam Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.

Semoga semangat PAS untuk bergerak sendiri mencapai kejayaan di dalam PRU-14 akan datang.

Rakyat pasti akan dapat melihat bagaimana PAS berhadapan dengan bekas rakan tahaluf siyasi mereka iaitu DAP dan PKR juga PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang turut bersama pakatan itu.

Adakah PAS mampu berhadapan dengan DAP dan pakatannya dalam PRU-14? Sama-sama kita nantikan.

Berjayakah gandingan PAS dan Gagasan Sejahtera?

Jangan dilupa misi mempertahan Kelantan juga harus diambil kira dalam setiap langkahnya!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here